Isnin, 1 Jun 2009

1.Sejarah Penubuhan Gerakan Jemaah Tabligh

Pengasas
Gerakan Jamaah Tbligh ini diasaskan oleh Maulana Muhammad Ilyas Bin Muhammad Ismail Al Kandalawi Ad Deobandi Al Jisyti pada tahun 1926. Kandahlawi adalah diambil sempena tempat lahir beliau iaitu kampung Kandhla di Saharanpur, India. Di sanalah beliau dilahirkan dan dibesarkan serta menerima pendidikan awalnya di Kuttab sekitar tahun 1896 bersama-sama abangnya Muhammad Yahya.

Kemasyhuran Maulana Muhammad Ilyas al-Kandahlawi adalah terletak kepada gerakan Islam yang diasaskan olehnya iaitu Jamaah Tabligh. Sejarah kemunculan gerakan ini bermula di Mewat apabila beliau menubuhkan madrasah-madrasah untuk mendidik orang-orang di situ. Namun kerana kurang sambutan maka dibentuknya sebuah jemaah yang bertugas untuk bertabligh dan melawat tempat-tempat tertentu selama beberapa hari. Selepas kematian abangnya iaitu Muhammad Yahya, pusat kegiatannya lalu berpindah ke Masjid Bangle Wali, Nizamuddin, New Delhi. Sejak itulah gerakan Jamaah Tabligh terkenal ke seluruh India.

Penyebaran Di Malaysia
Di Malaysia pada mulanya gerakan Jamaah Tabligh berkembang di kalangan orang-orang India Muslim sahaja. Tokoh yang memperkenalkan gerakan ini ialah Maulana Abdul Malik Madani, yang datang ke Singapura dan Selangor sekitar tahun
1952 sebagai utusan dari markasnya di Nizamudin sendiri. Dari Singapura, beliau datang ke Kuala Lumpur selama beberapa hari dan berangkat ke Ipoh dan Pulau Pinang dan kembali ke Kuala Lumpur dan terus pulang ke India melalui Singapura.

Semasa di Kuala Lumpur beliau disambut oleh beberapa orang tokoh India Muslim seperti Dato' Daud Ahmad Merican, T. K. S Abdul Majeed dan S. O. K Ubaidullah. Melalui bantuan Imam Masjid India di Kuala Lumpur ketika itu, iaitu Mohamed Syed, Maulana Abdul Malik dapat menerangkan program tablighnya kepada orang-orang India-Muslim di sini.

Begitulah sepanjang tahun 1950-1960 kegiatan Jamaah Tabligh ini tertumpu kepada kaum India Muslim sahaja. Namun begitu mulai tahun 1970-an bermulalah tahap yang kedua dalam sejarah Jamaah Tabligh di Malaysia iaitu apabila kegiatannya turut melibatkan orang-orang Melayu.
Read More..