Khamis, 24 Februari 2011

Demi Cinta Zainab



Demi Cinta Zainab - Mestica
Di kiri kekufuran di kanannya iman
Di sisi suami di hati seorang ayah
Di antara hukum dan di antara cinta
Berdirinya dikau di tengah-tengahnya
Bukan mudah menjadi puteri Rasulullah
Ketika suamimu masih jahiliyah

Hijrah mu tertahan engkau keseorangan
Memelihara iman ditengah kekufuran
Takdir menentukannya suami mu tertawan
Di medan Badar yang sangat menggetirkan
Lalu kau hulurkan kalungan kenangan
Sebagai penebus suami tersayang
Menitis airmata Rasul melihatnya
Melihat si Khadijah seolah berbicara
Ya….Binta Rasulallah

Tika sampailah waktu dibebaskan suaminya
Namun perintah Allah memisahkan keduanya
Bahang panasnya gurun
menusuk hingga ke sukma
Zainab mulakan hijrah
yang ditangguh demi cinta
Tika perjalanannya unta dibunuh
Kau keguguran kandungan

Zainab kau sungguh tabah
dipenuhi kesabaran
Tidak rasa keliru antara dua persimpangan
Antara dua kasih suami dan juga ayah
Juga antara cinta dan taat kepada Tuhan
Berjaya kau menempuhi segala rintangan
Demi cinta

Zainab ra lahir sepuluh tahun sebelum ayahnya menjadi nabi. Beliau puteri pertama Rasulullah s.a.w dari Khadijah ra. Sesuai dengan sifat-sifat yang melekat pada diri ibunya, Zainab menjadi teladan yang utama dengan seluruh sifat-sifat yang terpuji. Hampir sempurnalah sifat kewanitaan Zainab, sehingga putera dari makciknya yang bernama Abu al-’Ash bin Rabi’, salah seorang yang berstatus bangsawan di Mekah dalam hal kemuliaan dan harta, berhasrat melamar beliau. Dia adalah pemuda Quraisy yang tulus dan bersih, nasabnya bertemu dengan Nabi s.a.w dari jalur bapanya, iaitu pada Abdu Manaf bin Qushay. Manakala dari jalur ibu, nasabnya bertemu dengan Zainab pada datuk mereka berdua, yakni Khuwailid, kerana ibunya adalah Halah binti Khuwailid, saudari Khadijah.

Abu al-’Ash mengenal betul tentang keperibadian dan sifat Zainab, kerana dia sering berkunjung ke rumah makciknya Khadijah. Begitu pula Zainab dan kedua orang tuanya juga telah mengenali Abu al-’Ash. Oleh itu, diterimalah lamaran dari pemuda yang telah diredhai Nabi s.a.w dan Khadijah, serta juga oleh Zainab.

Maka, masuklah Zainab ke dalam rumahtangga suaminya, iaitu Abu al-’Ash. Dalam usianya yang masih muda, Zainab mampu mengatur rumahtangganya hingga membibitkan kebahagiaan dan ketenteraman. Allah mengurniakan mereka dua orang anak yang bernama Ali dan Umamah. Semakin sempurnalah kebahagiaan rumah tangga itu dengan kehadiran keduanya dalam rumah yang penuh dengan kebahagiaan.

Pada suatu ketika, Abu al-’Ash berada dalam suatu perjalanan, kemudian terjadilah peristiwa besar dalam sejarah kehidupan manusia. Pelantikan Muhammad s.a.w sebagai Nabi dengan membawa risalah. Bersegeralah Zainab menyambut seruan dakwah yang haq yang dibawa oleh orang tuanya. Beliau jadikan dinnullah sebagai pedoman hidup yang dengannya menjadi jalan di atasnya.

Tatkala suaminya pulang, Zainab menceritakan perubahan yang terjadi pada kehidupannya, semasa kepergian suaminya, muncullah dien yang baru dan lurus. Beliau menduga bahwa suaminya akan bersegera menyatakan keislamannya. Akan tetapi, beliau mendapati suaminya mengambil sikap dengan berdiam dan tidak bereaksi.

Kemudian, Zainab mencuba dengan segala cara untuk meyakinkan suaminya, namun dia menjawab, “Demi Allah, bukannya saya tidak percaya dengan ayahmu, hanya saja saya tidak ingin dikatakan bahawa aku telah menghina kaumku dan mengkafirkan agama nenek moyangku kerana ingin mendapatkan keredhaan isteriku.”

Hal itu merupakan pukulan yang hebat bagi Zainab, kerana suaminya tidak mahu memeluk Islam. Maka,rumahtangga menjadi goncang dan retak. Tiba-tiba kegembiraan berubah menjadi kesengsaraan.

Zainab tinggal di Mekah di rumah suaminya, dan tidak ada seorang pun di sekelilingnya yang dapat meringankan penderitaannya kerana jauhnya dirinya dengan kedua orang tuanya. Ayahnya telah berhijrah ke Madinah al-Munawwarah bersama sahabat-sahabatnya, sedangkan ibunya telah menghadap ar-Rafiiqul A’la, dan saudari-saudarinya pun telah menyusul ayahnya di bumi hijrah. Tatkala perang Badar, kaum musyrikin mengajak Abu al-’Ash keluar bersama mereka untuk memerangi kaum muslimin. Akhirnya, nasib suaminya adalah menjadi tawanan kaum muslimin.

Tatkala Abu al-’Ash dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w, beliau bersabda kepada para sahabat, “Perlakukan tawanan ini dengan baik.” Ketika itu Zainab mengutus seseorang untuk menebus suaminya dengan harta yang dibayarkan kepada ayah beliau beserta rantai yang dihadiahkan ibu beliau (Khadijah) tatkala pernikahannya dengan Abu al-’Ash. Tiada henti-hentinya Rasulullah memandang rantai tersebut, sehingga hati beliau hanyut mengenang isterinya yang setia, iaitu Khadijah yang telah menghadiahkan rantai tersebut kepada puterinya. Setelah beberapa saat, Rasul terdiam. Beliau bersabda dengan lemah lembut, “Jika kalian melihatnya (sebagai kebaikan), maka bebaskanlah tawanan tersebut dan kembalikanlah harta tebusannya, maka lakukanlah!” Para sahabat menjawab, “Baik, ya Rasulullah.”

Selanjutnya Rasulullah mengambil janji dari Abu al-’Ash agar membiarkan jalan Zainab (untuk hijrah), kerana Islam telah memisahkan hubungan antara keduanya.

Kemudian Abu al-’Ash kembali ke Mekah, sementara Zainab menyambutnya dengan riang gembira. Tetapi, yang terjadi pada diri Abu al-’Ash lain dengan apa yang terjadi pada Zainab. Akhirnya keluarlah Zainab dari Mekah meninggalkan Abu al-’Ash, suami yang tercinta, dengan perpisahan yang mengharukan. Namun, orang-orang Quraisy cuba menghalang beliau (untuk berhijrah), mereka mencegah dan mengancam beliau. Ketika itu beliau sedang hamil dan akhirnya gugurlah kandungannya. Seterusnya beliau pulang ke Mekah dan Abu al-’Ash merawatnya hingga kekuatannya pulih kembali. Lalu beliau keluar pada suatu hari di saat orang-orang Quraisy leka. Beliau keluar bersama saudara Abu al-’Ash yang bernama Kinanah bin ar-Rabi’ hingga sampai kepada Rasulullah s.a.w dengan aman.

Berlalulah masa selama enam tahun beserta peristiwa-peristiwa besar yang menyertainya, sedangkan Zainab berada dalam naungan ayahnya di Madinah. Beliau hidup dengan penuh bahagia dan tak kenal putus asa terus berdoa dan berusaha agar Allah melapangkan dada Abu al-’Ash untuk Islam.

Pada bulan Jumadil Ula tahun 6 Hijriyah, tiba-tiba Abu al-’Ash mengetuk pintu Zainab, kemudian Zainab membuka pintu tersebut. Seolah-olah Zainab tidak percaya dengan apa yang dilihatnya sehingga ia ingin mendekatinya. Akan tetapi, ia menahan diri kerana ingin memastikan tentang akidahnya, mengingat bahawa akidah adalah yang pertama dan yang terakhir.

Abu al-’Ash menjawab, “Kedatanganku bukanlah untuk menyerah, akan tetapi saya keluar untuk berdagang membawa barang-barangku dan juga milik orang-orang Quraisy, namun tiba-tiba saya bertemu dengan pasukan ayahmu yang di dalamnya ada Zaid bin Haritsah bersama 170 tentera. Selanjutnya mereka mengambil barang-barang yang saya bawa dan aku pun melarikan diri, dan sekarang aku mendatangimu dengan sembunyi-sembunyi untuk meminta perlindunganmu.”

Zainab yang memiliki akidah yang bersih berkata dengan rasa sedih dan hiba, “Marhaban (selamat datang) wahai putera makcik… Marhaban wahai ayah Ali dan Umamah (keduanya anaknya Zainab dengan Abu al-’Ash).”

Tatkala Rasulullah s.a.w selesai solat Subuh, dari dalam kamar Zainab berteriak dengan suara yang keras, “Wahai manusia, sesungguhnya aku melindungi Abu al-’Ash bin Rabi.” Kemudian Rasulullah s.a.w ke luar seraya bersabda, “Wahai manusia, apakah kalian mendengar apa yang aku dengar?” Mereka menjawab, “Benar Ya Rasulullah.” Lalu beliau bersabda, “Adapun demi yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, tiadalah aku mengetahui hal ini sedikit pun hingga saya mendengar sebagaimana yang kalian dengar. Dan orang-orang yang beriman adalah tangan bagi selain mereka, sehingga berhak memberikan perlindungan kepada orang yang dekat dengannya, dan sungguh kita telah melindungi orang-orang yang telah dilindungi oleh Zainab.”

Kemudian masuklah Rasulullah s.a.w menemui puteri beliau: Zainab, lalu berkata, “Muliakanlah tempatnya dan janganlah dia berbuat bebas kepadamu, kerana kamu tidak halal baginya.”

Zainab memohon ayahnya agar dikembalikan harta dan barang-barang Abu al-’Ash. Maka, keluarlah Rasulullah menuju tempat para sahabat yang sedang duduk-duduk. Beliau bersabda, “Sesungguhnya laki-laki ini sudah kalian kenal. Kalian telah mengambil hartanya, maka jika kalian rela, kembalikanlah harta itu kepadanya dan saya menyukai hal itu, namun jika kalian menolaknya, maka itu adalah fa’i (rampasan) yang Allah kurniakan kepada kalian dan apa yang telah Allah berikan kepada kalian, maka kalian lebih berhak terhadapnya.”

Para sahabat menjawab dengan serentak, “Bahkan kami akan mengembalikan seluruhnya ya Rasulullah.” Akhirnya mereka mengembalikan seluruh hartanya, seolah-olah dia tidak pernah kehilangan sama sekali.

Selanjutnya Abu al-’Ash pergi meninggalkan Zainab, dia menuju Mekah dengan membawa sebuah tekad. Tatkala orang-orang Quraisy melihat kedatangannya dengan membawa barang dagangan beserta labanya, maka mulailah Abu al-’Ash mengembalikan harta dan laba itu kepada setiap yang berhak. Kemudian beliau berdiri dan berseru, “Wahai orang-orang Quraisy, masih adakah di antara kalian yang hartanya masih berada di tanganku dan belum diambil?” Mereka menjawab, “Tidak, semoga Allah membalasmu dengan kebaikan. Sungguh, kami dapati bahawa anda adalah seorang yang setia janji dan mulia.” Lalu di tempat itulah Abu al-’Ash berkata, “Adapun aku, aku bersaksi bahwa tiada ilah (tuhan) yang haq (benar) kecuali Allah dan bahwa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya. Demi Allah tiada yang menghalang diriku untuk masuk Islam (tatkala di Madinah), melainkan kerana saya khuatir kalian menyangka bahawa saya hanyalah ingin melarikan harta kalian. Maka, tatkala Allah mengembalikan barang-barang kalian dan sudah aku laksanakan tanggung jawabku, maka aku pun masuk Islam.”

Abu al-’Ash bertolak ke Madinah sebagai seorang muslim. Beliau berhijrah menuju Allah dan Rasul-Nya, dan di sanalah beliau bertemu orang yang dia cintai, yakni Muhammad s.a.w dan para sahabatnya. Akhirnya, Rasulullah s.a.w mengembalikan Zainab ra kepada Abu al-’Ash. Mereka hidup sebagaimana sebelumnya dengan kegembiraan dan kebahagiaan. Akan tetapi, berkumpulnya mereka sekarang dalam akidah yang satu.

Download
Mp3

Selasa, 22 Februari 2011

Mesir dan kempen demokrasi global



Mesir dan kempen demokrasi global
Haris Zalkapli

Mesir yang menyaksikan satu perubahan politik pada masa ini membawa tajuk demokrasi dan hak asasi manusia dalam tajuk utama berita dunia hari ini.

Suasana yang wujud di Mesir dan seluruh Asia Barat ketika ini semakin menjadikan demokrasi dan hak asasi manusia sebagai agenda utama dalam politik rantau terbabit dan juga seluruh dunia.

Dalam hal ini, melalui debat di media global, peranan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar pendukung ide kebebasan demokrasi dan hak asasi manusia mula kelihatan dengan jelas, walau apapun penilaian sebenar peranan AS di Asia Barat.

Perkembangan di Tunisia dan Mesir kini mencetuskan kembali gelombang perubahan akibat protes rakyat yang kali terakhir berlaku di bawah Presiden George W Bush.

Sejak Barack Obama memenangi pilihan raya dan menjadi presiden AS pada 2009, agenda mempromosikan demokrasi seperti yang ditafsirkan daripada satu ucapan Presiden Woodrow Wilson telah bermula.

Agenda di bawah Obama ini dimulakan dengan satu bentuk yang lebih bergaya dan menarik, menjarakan diri daripada kempen “menyebarkan demokrasi” di bawah Bush.

Pada asasnya, usaha penyebaran demokrasi seperti dilaksanakan melalui dasar luar AS bersandarkan pada 14 perkara yang digariskan oleh Wilson suatu masa dahulu.

Walaupun melalui tafsiran yang berbeza-beza, kempen menyebarkan demokrasi, dengan asas hak asasi manusia telah menjadi satu dimensi penting dasar luar AS sejak Perang Dingin.

Di bawah Presiden Jimmy Carter, hak asasi mula menjadi satu tunjang penting dalam dasar luar AS, dalam usaha memenangi sokongan dan ikutan dalam persaingan dengan kuasa Komunis.

Sehingga hari ini, hak asasi manusia dan demokrasi yang menjadi salah satu agenda paling menarik dalam politik antarabangsa, dengan Washington mengambil peranan kepimpinan dalam hal ini.

Demokrasi dan hak asasi manusia juga menjadi alat dala diplomasi untuk mencapai pelbagai tujuan, termasuk sebagai kempen menentang negara bukan sahabat.

Melalui kepimpinan moral dalam isu ini, AS membina dan mengukuhkan pengaruhnya, menjelaskan kepentingan hak asasi manusia dan demokrasi dalam diplomasi AS di seluruh dunia.

Melalui kepimpinan ini juga AS memperolehi satu senjata dalam persaingan dengan kuasa lain seperti China dan Rusia, dalam usaha mengukuhkan pendekatan yang dikenali sebagai “konsensus Washington.”

Melalui badan-badan seperti National Endowment for Democracy (dengan International Republican Institute dan National Democratic Institute for International Affairs di bawahnya), Freedom House dan sebagainya, kepimpinan moral AS dalam agenda demokrasi dan hak asasi manusia terus diperkukuhkan.

Di luar Jabatan Negara, pertubuhan-pertubuhan ini menjadi tunjang yang melaksanakan dasar luar AS.

Secara praktiknya, ide yang disebarkan oleh AS itu diletakkan dalam satu pakej yang bukan sahaja mengandungi kebebasan demokratik dan hak asasi tetapi juga dasar ekonomi pasaran bebas yang direstui kuasa-kuasa Barat.

Negara-negara di bawah naungan China dan Rusia menjadi medan persaingan kuasa AS dengan dua kuasa yang jauh kurang demokratik tersebut.

Dalam banyak kes, ide demokrasi, hak asasi manusia dan pasaran bebas menjadi sangat menarik bagi negara-negara yang dinaungi kuasa tidak menyanjung ide kebebasan seperti Barat.

Malah, di negara Iran, kuasa yang menganggap dirinya sebagai satu kuasa yang cukup besar untuk menjadi penaung dalam sistem global, tarikan ide kebebasan Barat turut mampu menggugat, sepeti disaksikan dalam pilihan raya presiden pada 2009.

Revolusi di Mesir dan Tunisia hakikatnya merupakan kesinambungan perubahan-perubahan rejim yang disaksikan di rantau Asia Tengah dan Kaukasus pada separuh pertama dekad lalu.

AS sebagai penyebar demokrasi tetap mempunyai peranan, melalui hubungan dengan masyarakat sivil, pembangkang dan pelbagai kumpulan di negara-negara yang mengalami kebangkitan rakyat itu.

Revolusi warna dan simbol yang berlaku di rantau itu dan juga di seluruh dunia terus diletakkan di bawah tajuk yang sama sehingga hari ini.

Sejak 2003, Asia Tengah dan Kaukasus menyaksikan satu demi satu diktator tumbang, dalam satu siri peristiwa berpofil tinggi yang dikemukakan sebahagian besar media Barat sebagai peralihan bermakna daripada autoritarianisme kepada demokrasi pasaran bebas.

Bermula 2003, tercetus Revolusi Ros di Georgia, Revolusi Jingga di Ukraine pada 2004, dan Revolusi Tulip di Kyrgyzstan pada 2005.

Tidak jauh dari situ, berlaku Revolusi Hijau di Iran pada 2009. Terbaru dunia menyaksikan Revolusi Jasmin di Tunisia dan kebangkitan di Mesir yang masih belum mempunyai satu nama yang dipersetujui.

Kesemua kebangkitan ini dikemukakan sebagai desakan menuntut kebebasan, demokrasi dan hak asasi manusia dan juga ekonomi pasaran bebas, dengan dimensi geopolitik dan persaingan kuasa besar menduduki tempat kedua.

Hal yang sama boleh diperhatikan di Tunisia dan Mesir, yang ekonomi dan kebebasan menjadi perhatian utama, dan juga cerita yang paling menarik seperti tindakan membakar diri.

Persoalan moral dalam isu ini dimulakan dengan pemimpin zalim tersebut, dengan isu sokongan kuasa besar terhadap rejim itu sehingga membolehkan mereka bertahan berdekad-dekad agak diabaikan.

Kenyataan-kenyataan dari Washington berhubung perubahan di Mesir tetap ditunggu-tunggu sejak awal lagi, membei kredibiliti dan peranan kepimpinan kepada kuasa besar itu dalam pembentukan Mesir baru pasca-Mubarak.

Isu menyebarkan demokrasi kini kembali muncul dengan prominen dalam debat dasar luar AS, menegaskan bahawa agenda ini, walaupun kontroversi, akan terus menjadi satu asas dasar luar negara itu.

Dengan presiden yang berwajah menarik untuk ditonjolkan kepada dunia tarikan nilai-nilai demokrasi yang terus mendapat sambutan, usaha mempromosi demokrasi jelas sekali terus dilaksana di bawah Obama, dengan hanya sedikit perubahan berbanding pentadbiran Republikan sebelumnya.

Pelaksanaan agenda ini, walaupun sarat dengan komplikasi moralnya, tidak dapat dielakkan daripada diteruskan, kerana isu demokrasi dan hak asasi manusia ini memberi satu kelebihan moral kepada kuasa besar itu untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam persada global yang semakin mencabar dengan peningkatan kuasa-kuasa lain kini.

Kredit to http://www.harakahdaily.net

Isnin, 21 Februari 2011

Pembalasan Allah s.w.t. Atas Kaum Aad


Pembalasan Allah s.w.t. terhadap kaum Aad yang kafir dan tetap membangkang itu diturunkan dalam dua perinkat. Tahap pertama berupa kekeringan yang melanda ladang-ladang dan kebun-kebun mereka, sehingga menimbulkan kecemasan dan kegelisahan, kalau-kalau mereka tidak memperolehi hasil dari ladang-ladang dan kebun-kebunnya seperti biasanya. Dalam keadaan demikian Nabi Hud masih berusaha meyakinkan mereka bahawa kekeringan itu adalah suatu permulaan seksaan dari Allah s.w.t. yang dijanjikan dan bahawa Allah s.w.t. masih lagi memberi kesempatan kepada mereka untuk sedar akan kesesatan dan kekafiran mereka dan kembali beriman kepada Allah s.w.t. dengan meninggalkan persembahan mereka yang bathil kemudian bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t. agar segera hujan turun kembali dengan lebatnya dan terhindar mereka dari bahaya kelaparan yang mengancam. Akan tetapi mereka tetap belum mahu percaya dan menganggap janji Nabi Hud itu adalah janji kosong belaka. Mereka bahkan pergi menghadap berhala-berhala mereka memohon perlindungan dari musibah yang mereka hadapi.

Tentangan mereka terhadap janji Allah s.w.t. yang diwahyukan kepada Nabi Hud segera mendapat jawapan dengan datangnya pembalasan tahap kedua yang dimulai dengan terlihatnya gumpalan awan dan mega hitam yang tebal di atas mereka yang disambutnya dengan sorak-sorai gembira, kerana dikiranya bahawa hujan akan segera turun membasahi ladang-ladang dan menyirami kebun-kebun mereka yang sedang mengalami kekeringan. Melihat sikap kaum Aad yang sedang bersuka ria itu berkatalah Nabi Hud dengan nada mengejek: "Mega hitam itu bukanlah mega hitam dan awam rahmat bagi kamu tetapi mega yang akan membawa kehancuran kamu sebagai pembalasan Allah s.w.t. yang telah ku janjikan dan kamu ternanti-nanti untuk membuktikan kebenaran kata-kataku yang selalu kamu sangkal dan kamu dusta."

Sejurus kemudian menjadi kenyataanlah apa yang dikatakan oleh Nabi Hud itu bahawa bukan hujan yang turun dari awan yang tebal itu tetapi angin taufan yang dahsyat dan kencang disertai bunyi gemuruh yang mencemaskan yang telah merosakkan bangunan-bangunan rumah dari dasarnya membawa berterbangan semua perabot-perabot dan milik harta benda dan melempar jauh binatang-binatang ternak. Keadaan kaum Aad menjadi panik mereka berlari kesana sini mencari perlindungan Suami tidak tahu di mana isterinya berada dan ibu juga kehilangan anaknya sedang rumah-rumah menjadi sama rata dengan tanah. Bencana angin taufan itu berlangsung selama lapan hari tujuh malam sehingga sempat menyampuh bersih kaum Aad yang congkak itu dan menamatkan riwayatnya dalam keadaan yang menyedihkan itu untuk menjadi pengajaran dan ibrah bagi umat-umat yang akan datang.

Adapun Nabi Hud dan para sahabatnya yang beriman telah mendapat perlindungan Allah s.w.t. dari bencana yang menimpa kaumnya yang kacau bilau dan tenang seraya melihat keadaan kaumnya yang kacau bilau mendengar gemuruhnya angin dan bunyi pohon-pohon dan bangunan-bangunan yang berjatuhan serta teriakan dan tangisan orang yang meminta tolong dan mohon perlindungan. Setelah keadaan cuaca kembali tenang dan tanah "Al-Ahqaf " sudah menjadi sunyi senyap dari kaum Aad pergilah Nabi Hud meninggalkan tempatnya berhijrah ke Hadramaut, di mana ia tinggal menghabiskan sisa hidupnya sampai ia wafat dan dimakamkan di sana dimana hingga sekarang makamnya yang terletak di atas sebuah bukit di suatu tempat lebih kurang 50 km dari kota Siwun dikunjungi para penziarah yang datang beramai-ramai dari sekitar daerah itu, terutamanya dan bulan Syaaban pada setiap tahun.

Klik sini

Kisah Nabi Muhammad SAW Sebelum Wafat



Siratunnabi - Mestica
Sungguh mulianya pekertimu
Sinar bercahaya di wajahmu
Kaulah Nabi kekasih Allah
Kau jadi insan pilihan

Demi umat rela berkorban
Jiwa dan raga kau taruhkan
Demi Tuhan kau tempuhi
Dugaan dan cabaran

Ya Rasulullah?

Tika mula kau menerima wahyu
Hatimu resah tiada menentu
Khadijah mengukir kata-kata
Bahwa kau Rasul buat seluruh umat
(Bahwa kau Nabi buat seluruh umat)

Bila kau hampir memejamkan mata
Lidahmu basah menyebut ummati
Kasih sayangmu tak bisa digambar
Hanya selawat pengikat kasih


Kredit to : http://www.liriklagumuzik.co.cc/2008/09/lirik-siratun-nabi-mestica.html#ixzz1EamWA3C2

Untuk tatapan semua sahabat …
Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah,
“Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur’an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku.”
Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.
“Rasulullah akan meninggalkan kita semua,”keluh hati semua sahabat kala itu.
Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.
Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.
Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. “Bolehkah saya masuk?” tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, “Maafkanlah, ayahku sedang demam,” kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, “Siapakah itu wahai anakku?” “Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,” tutur Fatimah lembut.
Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.
“Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut,” kata Rasulullah.
Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?” Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.
“Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.
“Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi.
“Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?” “Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: ‘Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril.
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.
“Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.” Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.
“Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?” Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.
“Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,” kata Jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. “Ya Allah, dahsyat sungguh maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.”Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. “Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.”
Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.
“Ummatii, ummatii, ummatiii?” – “Umatku, umatku, umatku”
Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli ‘ala Muhammad wa baarik wa salim ‘alaihi
Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.
Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka. Amin…

Semoga kita hargai segala pengorban Rasulullah SAW.


Download
Mp3
Read More..