Sabtu, 25 September 2010

Kumpulan Aeman


Kumpulan Aeman


Download album Alif Ba Ta






Jumaat, 24 September 2010

Isabella Bab 4

Pertemuan Pertama

Tidak lama sesudah Isabella meninggalkan tempat itu, Umar Lahmi, Maaz dan kawan-kawan mereka yang lain berpisah untuk pulang ke rumah masing-masing. Sesampai di rumah, mereka mentelaah Kitab Suci Al Quran dan Kitab Injil serta membuat catatan-catatan perkara yang penting untuk dijadikan bahan yang akan dibahaskan di dalam pertemuan esok hari. Pada pagi berikutnya iaitu pagi Ahad, berita tentang pertemuan itu telah tersebar dengan luas di seluruh kota. Orang-orang Kristian dengan penuh hati-hati membuat persiapan yang teliti terutama di dalam menghadapi orang ramai yang ingin ikut mendengar perbincangan tersebut. Hanya beberapa orang Islam saja yang dibenarkan masuk ke dalam gereja sedangkan yang lain-lain terpaksa pulang dengan perasaan kecewa. Umar Lahmi, Maaz dan beberapa orang cendekiawan Islam dibenarkan masuk sesuai dengan persetujuan yang telah dibuat lebih awal. Ketika mereka masuk, didapati hampir semua paderi yang terkemuka di Cordova ada di dalamnya dan sedang sibuk mengerjakan sembahyang.

Tidak lama kemudian upacara sembahyang itu pun selesai. Paderi-paderi lalu mengambil tempat duduk di suatu meja panjang yang tersedia, berhadapan dengan Umar Lahmi, Maaz dan kawan-kawannya. Isabella dengan semua kawankawannya pun ikut serta duduk bersama-sama.

Sesudah mengucapkan selamat datang dan terima kasih kerana telah menyahut pelawaan mereka, Michael, guru Isabella membuka pertermuan dengan memperkenalkan tiap-tiap orang paderi yang ada di meja persidangan itu. Salah seorang daripada mereka bernama Peter yang terkenal sebagai seorang ahli pengajian Arab dan kitab-kitab Islam.

“Kami diberitahu bahwa tuan-tuan mempunyai sedikit keraguan tentang agama Kristian dan telah bersetuju datang kemari untuk meminta penjelasan daripada kami. Tuan-tuan juga telah berjanji kalau penjelasan yang kami berikan itu boleh meyakinkan maka tuan-tuan akan meninggalkan agama Islam dan memeluk agama Kristian.” kata Michael.

“Kami sedikit pun tidak merasa ragu tentang kepercayaan dan ajaran-ajaran Kristian tetapi kami cukup yakin kepercayaan dan ajaran-ajaran itu tidak beralasan. Dalam pada itu pun jikalau tuan dapat memuaskan hati kami dengan penjelasan-penjelasan tentang agama tuan yang boleh meyakinkan maka kami bersedia masuk agama Kristian.”

Mendengar kata-kata Umar Lahmi itu, Michael lalu berpaling kepada Peter yang kelihatan lebih tua daripada yang lain. Peter yang sudah menulis banyak buku menentang agama Islam, dianggap orang yang paling berkebolehan untuk berdebat dengan orang Islam.

Peter dengan nada suara orang yang menguasai keadaan berkata, “Saya diberitahu bahwa bantahan tuan-tuan yang terutama sekali ialah tentang mengapa St Paul telah mengatakan hukum-hukum agama itu satu kutukan. Tetapi ini adalah satu perkara remeh dan tida lebih daripada satu isu sampingan saja. Tuan-tuan orang Muslim dan berimankan Quran dengan sendirinya pendapat tuan-tuan mengenai Tuhan Jesus Kristus dan agama Kristian mengikuti lunas-lunas Quran.

Umar Lahmi tersenyum kecil sebelum menjawab, “Saya sudah membuat definisi yang jelas di dalam surat saya tentang persoalan yang akan kita bincangkan seperti yang tuan sendiri sudah akui tetapi mengapa pula tuan bawa kepada perkara-perkara lain? Saya sudah menulis perbincangan ini akan berisar di sekitar hukum-hukum agama dan kutukan, jadi apa ada bantahan tuan tentang hal itu?”

Peter masih dengan nada suara yang agak kuat berkata,”Kami akan menjawab pertanyaan tuan tetapi lebih dulu biarlah kita bincangkan isu-isu yang dasar yang juga dari Quran tuan-tuan. Bukankah dalam Quran ada mengatakan tentang Tuhan Jesus Kristus kami sebagai Rohullah, Kalimatullah. Tidakkah ada tersebut di dalamnya bahwa dia pernah menghidupkan orang yang sudah mati? Jadi, apabila tuan percayakan Quran bagaimana pula boleh tuan-tuan meragui Tuhan Jesus sebagai ‘Putera Tuhan’?”

“Tuan telah memulai dengan perbincang yang agak menyimpang yang sedikit pun tidak ada kena-mengena dengan keraguan yang kami timbulkan.” kata Umar Lahmi. “Apa yang saya inginkan ialah untuk memahami signifikan hukum-hukum agama dan kutukan. Andaikata tuan bersedia mahu membincangkannya, silakan. Kalau tidak, kami akan meninggalkan tempat ini.” Umar Lahmi memandang muka sahabat-sahabatnya dan mereka semua menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan keputusan itu.

“Saya mengemukakan Quran kepada tuan ialah supaya isuisu dasar itu dibincangkan lebih dulu. Jikalau tuan mahu mengelakkan diri daripada persoalan dasar ini dan mahu membincangkan isu-isu sampingan, itu bererti tuan tidak dapat menjawabnya.” kata Peter dengan sikap angkuh.

Umar Lahmi segera menjawab, “Baiklah, tuan mahu membincangkan isu-isu dasar, terlepas daripada persoalan agama tuan dan mahu berselindung di balik AlQuran. Jikalau tuan mahu membincangkan isu-isu dasar, mari kita selesai ini dulu. Apakah Adam benar-benar ada melakukan satu dosa dan bila kita putuskan dia benar-benar ada berbuat dosa, maka patutlah kita bincangkan pula apakah dosa itu diperturunkan dari generasi ke generasi sampai meliputi seluruh umat manusia. Yakni, kerana dosa Adam itu, semua manusia dengan sendirinya ikut dibebani dosa? Jika keadaannya benar begitu, kita akan bincangkan bagaimana noda dosa itu dapat dihapuskan? Kemudian kita bincangkan pula tentang kesucian Nabi Isa, tentunya menurut Kitab Injil. Sesudah itu tuan mesti buktikan kepada kami bahwa Jesus itu Tuhan dan hanya dia saja dapat memerdekakan manusia daripada dosa. Apabila semua ini dapat dijelaskan maka tuan mesti buktikan pula bahwa Jesus benar disalib dan kerana semua dosa manusia dia telah tinggal selama tiga hari di dalam neraka. Inilah yang patut dibahaskan dan bukan apa yang tersebut di dalam AlQuran tentang Nabi Isa.”

“Semua itu tidak relevan. Tidak ada perhubungannya dengan persoalan.” Peter menampik. “Apa yang saya maksudkan ialah untuk membuktikan dari Quran sendiri bahwa Jesus ‘Roh Allah’ dan ‘Kalam Allah’ dan telah menghidupkan orang yang sudah mati. Oleh kerana itu, agama Kristian itu benar.”

Umar Lahmi menjadi tidak senang dengan putar belit paderi tua itu. Masa sudah berjalan beberapa minit, pokok perbincangan belum juga diperolehi. Dia lalu memandang kepada Isabella yang sejak perbincangan itu dimulai tidak pernah melepaskan matanya dari wajah itu. Sambil menunjuk kepada Isabella, dia berkata, “Sekarang saya tunjuk nona ini sebagai hakim dan memintanya memberitahu mengapa kami diundang kemari? Nah! Saudari mesti katakan apa yang telah saya tulis di dalam surat saya dan kenapa saudari membawa kami kemari?”

Isabella yang sedang tenggelam di dalam lamunannya itu agak tersentak apabila ditunjuki Umar Lahmi serupa itu. Pipinya tiba-tiba menjadi merah. Dengan suara yang rendah tetapi berwibawa, dia menjawab, “Sebenarnya, perbincangan ini ialah untuk menentukan apakah hukum-hukum agama itu satu kutukan ataupun tidak. Tetapi keberatan yang dikemukakan oleh bapa suci kami juga ada kebenarannya. Menurut pendapat saya, mula-mula kita bahaskan dulu keberatan-keberatan tuan kemudian barulah bapa suci memajukan pula soalan-soalan tentang Quran.”

Umar Lahmi mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan pendapat Isabella. “Nah, saya bersetuju dengan pendapat nona. Sekarang saya buka gelanggang ini kepada tuan. Saya berjanji bahwa apbila tuan dapat menyelesaikan keberatan-keberatan kami dengan penjelasan yang meyakinkan, kami dengan tidak melewatkan waktu membenarkan tuan memajukan soalan-soalan secara umum. Tapi apabila saya berjanji mahu menganut agama Kristian, saya fikir tidak perlu lagi kita berbahas panjang panjang.”

Umar Lahmi menutup kata-katanya itu dengan senyum kecil dan memandang Isabella dengan ekor matanya. Isabella yang dapat melihat jelingan Umar Lahmi itu merasa tersindir.

“Baiklah,” ujar Peter, “sebutlah soalan-soalan tuan dengan jelas bersama-sama dengan pendirian tuan mengenainya.”

“Tuan boleh menjawab soalan saya satu persatu, persoalan demi persoalan. Ini akan menjadi lebih jelas.: kata Umar Lahmi. “Mula-mula, cuba beritahu saya apakah ‘jangan mencuri, jangan membunuh, jangan menimbulkan kesukaran kepada tentangga dan lain-lainnya’ itu merupakan firmanfirman Tuhan dan apakah ada kaitannya pula dengan hukum hukum agama?”

“Sudah tentu. Semua itu ada kaitan dengan undang-undang agama.” jawab Peter dengan cepat. “Apakah pula dikri St Paul tentang hukum-hukum agama?” tanya Umar Lahmi lagi. “Dikri bagaimana? Saya tidak faham.” jawab Peter, mengangkat muka memandang Umar Lahmi seperti hairan. “Tuan faham benar-benar perkara itu.” kata Umar Lahmi dengan suara agak keras sedikit. “Cuma tuan mahu mengelak daripada menjawabnya. Katakan saja bahwa St Paul telah menganggap hukum-hukum agama itu sebagai satu kutukan.”

“St Paul menganggap hukum-hukum agama itu sebagai kutukan dari sudut bahwa inti hukum agama itu adalah bahagian daripada Jesus Kristus dan betapa bodoh apabila inti ditinggalkan sedangkan kulitnya dikejar-kejar.” “Begitulah pula yang saya maksudkan.” jawab Umar Lahmi. “St Paul yang menganggap Jesus sebagai jiwa dan hukum hukum agama sebagai tubuh telah mengatakan hukumhukum agama itu sebagai satu kutukan dan apabila tuan juga berkata Firman Perjanjian Lama ada kaitannya dengan hukum-hukum agama maka menahan diri dari membunuh dan berzina juga adalah satu kutukan.”

Mendengar hujah Umar Lahmi itu, Peter, paderi tua, kelihatan resah sedikit tetapi dia menjawab dengan satu dalih. “Perkara ini sebenarnya merupakan satu perkara ghaib dan tuan tidak dapat memahaminya tanpa bantuan dari ‘Roh Kudus’ dan tidak semestinya pula bahwa sesuatu problem yang tidak dapat difahami itu merupakan perkara salah. St Paul telah menganggap hukum-hukum agama secara lahiriahnya satu kutukan dan tidak pula tertuju kepada semua bentuk hukum agama.”

“Benar. Memang betul St Paul mengatakan hukum-hukum agama pada lahiriahnya satu kutukan. Sekarang cuba terangkan kepada saya. Jikalau tidak mencuri, tidak berzina, tidak menganggu keluarga dan lain-lain lagi itu adakah hukum-hukum agama yang lahiriah atau dalaman, rohaniah dan moral?” tanya Umar Lahmi.

“Tuan hanya menumpukan soalan kepada topik yang sama.” Peter membantah. “Cuba dengar. Apa yang dikatakan oleh Jesus Kristus adalah lebih baik daripada yang dikatakan oleh St Paul. Tuhan kami menyuruh kami mengikut Firman-Firman Perjanjian Lama.* “ ( *sila lihat Injil, Matius Bab 5:19 sampai Bab 10:25 )“Iaitu memperoleh keselamatan maka perlu mengikuti Perjanjian Lama juga.” kata Umar Lahmi. “Kalau sudah memang demikian keadaannya, mengapa pula tuan menimbulkan perkara penebusan dosa dengan menyalibkan ‘Putera Tuhan’? Iaitu, mengapa Penebusan Dosa Momok ini apabila Perjanjian Lama perlu diikuti? Apakah perlu mengikuti Firman-Firman Perjanjian Lama malah sesudah Kristus menebus dosa?”

“Kami tidak tahu apa-apa.” jawab Peter dengan suara perlahan. “Kecuali Tuhan kami telah mengarahkan kami mengikut Perjanjian Lama. Tetapi keselamatan tidak dapat diperoleh hanya semata-mata mengikuti Perjanjian Lama tanpa ada penebusan dosa.”

“Jadi, Nabi Musa, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf, Nabi Nuh dan lain-lain nabi itu kehilanganlah keselamatan mereka kerana jalan keselamatan mereka satu-satunya hanya dengan mengikuti hukum-hukum agama?” tanya Umar Lahmi. “Begitu juga dengan para pengikutnya, keselamatan mereka dicabut.” sambungnya lagi.

“Sebelum kedatangan Kristus, jalan keselamatan satu satunya ialah dengan mengikuti hukum-hukum agama tetapi penebusan dosa oleh Jesus Kristus telah mengubahnya dan sekarang jalan yang ada hanyalah penebusan dosa.” jawab Peter.Umar Lahmi tersenyum mendengar jawaban Peter yang berbelit-belit itu. Dia memandang muka Isabella dan muka itu walaupun kelihatan tenang tetapi sedang tenggelam dalam satu fikiran yang membingungkan. Umar Lahmi memandang muka Peter, ditenung matanya. “Mula-mula tuan menolak apa yang sudah dikatakan oleh St Paul iaitu hukum-hukum agama bukan satu kutukan kemudian tuan menolak hukum-hukum agama sebagai dasar keselamatan. Dapatkah tuan mengemukakan kata-kata ‘wali’ yang lain untuk membuktikan bahwa ucapan St Paul ‘hukum hukum agama itu satu kutukan’ tidak benar?”

Tiba-tiba paderi kurus yang bermuka cengkung dari sudut sebelah kiri menyampuk dengan suara yang lantang. “Tuan-tuan! Percakapan tentang hal ini adalah perbuatan murtad dan kufur. Semua yang dibincangkan berkaitan dengan perkara-perkara ghaib. St Paul memang mengatakan hukum-hukum agama satu kutukan dan kata-kata itu benar tetapi tuan-tuan tidak dapat memahami perkara-perkara ghaib serupa ini. Jalan keselamatan kami ialah ketuhanan Kristus dan penebusan dosa kerana Jesus bebas daripada dosa dan ia penjelmaan Tuhan, yang kerana kesayangan dan perbuatan baiknya menderita di atas salib sebagai ganti kita semua dan memberi kita keselamatan.”

“Jangan ikuu rasa hati dalam perselisihan persahabatan.” ujar paderi yang bertubuh gemuk dan berkepala bulat dan licin. Dia duduk di sebelah kanan Peter. “Tuan sudah mulai menyangkal St Paul.” “Inilah hasil perbincangan yang tidak benar dan tidak beralasan. Tuan kini telah mula membicarakan soal ketuhanan dan penebusan dosa.” kata Umar Lahmi. “Eloklah kita selesaikan lebih dulu perbahasan mengenai hukum hukum agama dan kutukan.”

“Kami telah memberikan jawaban yang meyakinkan kepada tuan. Jadi, sekarang kami berikan masa selama delapan hari untuk tuan beristirehat. Andaikata keraguan tuan-tuan masih belum dapat dipecahkan pada masa itu, tuan-tuan boleh datang lagi kemari.” kata Peter.

Umar Lahmi tidak menghiraukan kata-kata paderi tua itu. Sebaliknya, dia bertanya, “Tuan tidak menganggap hukum hukum agama sebagai satu kutukan dan kolega tuan pula mengatakan ia itu satu kutukan dan St Paul berada di pihat yang benar. Jadi, mana satu di antara tuan-tuan ini yang benar?”

“Orang yang mengatakan hal ini tidak ada kaitannya dengan misteri agama Kristian. Jangan tuan pedulikan kata-kata mereka itu.” jawab Peter.

Umar memandang kepada Isabella. “Nah, cuba terangkan kepada saya yang mana benar di antara mereka ini dan apakah St Paul itu silap kerana mengatakan hukum-hukum agama satu kutukan?” Sekali lagi, Isabella tersentak apabila Umar Lahmi memajukan pertanyaan kepadanya.

“Saya datang kemari untuk mendengar perbahasan dan bukan untuk ikut campur. Tapi saya akan meminta kepada guru saya, Bapa Michael, untuk menyelesaikan masalah ini kerana beliau seorang ilmuwan yang agung dan cendekiawan pula, kerana sebagai sebahagian daripada tamu-tamu terhormat yang lain saya sendiri pun belum begitu faham tentang hal ini.”

Kata-kata Isabella itu bagai petir di tengah hari. Semua orang yang hadir di dalam gereja amat terperanjat mendengarnya, lebih-lebih lagi para paderi yang duduk di meja persidangan. Mereka memandang muka Isabella dengan pandangan tajam yang berisi kehairanan. Di tempat para penonton telah timbul keributan kecil.

Melihat keadaan yang mula kacau, Michael bangun dan berkata, “Saudara-saudara, kita semua berhimpun di sini untuk mencari kebenaran dan sesungguhnya ini adalah satu tugas yang berfaedah. Tetapi untuk tujuan ini, maka perlulah kita mempunyai hati yang tulus ikhlas dan satu keinginan untuk menerima kebenaran. Masalah keimanan yang sedemikian itu tidak akan dapat dicapai oleh seseorang dengan usahanya sendiri tanpa pertolongan Tuhan. Oleh sebab itu, kita harus berdoa kepada Tuhan dengan setulus hati agar Dia menunjukkan kebenarn kepada kita melalui bantuan Roh Kudus dan menampakkan kepada kita segala misteri agama Kristian.”

Michael terpaksa berhenti sejenak kerana dari para hadirin Kristian terdengar ucapan Amen sedarun. Kemudian dia menyambung semua.

“Saudara-saudara. Apakah hukum-hukum agama itu satu kutukan atau tidak adalah satu soalan titik-bengik, tidak penting. Persoalan yang sebenarnya ialah saudara-saudara Muslim kita ini tidak mengetahui tentang kepercayaan Kristian dan dasar-dasar pokoknya, sebab itulah mereka gemar berpolemik. Intisari agama kita hanya terletak pada dua kalimat, iaitu ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Seseorang yang memahami erti kedua kalimat ini maka fahamlah dia semua rahsia agama Kristian. Betapa sayangnya Tuhan kepada kita sehingga Dia mengirim putera tunggalnya bagi keselamatan kita untuk memikul semua derita manusia di dunia ini dan akhir sekali Dia telah dibunuh di atas salib sebagai penebus semua dosa kita. Oleh sebab itu saya ingin memohon kepada sahabat saya, Umar Lahmi, dan kawan kawannya supaya membatalkan saja perbahasan yang sia-sia mengenai hukum-hukum agama dan kutukan dan memikirkan tentang keperibadian suci Tuhan Jesus kita dan penebusan dosanya yang tidak ada tolok bandingan. Marilah masuk agama Kristian.”

Umar Lahmi merasa gusar dengan ucapan Michael yang sama sekali tidak diduganya itu lalu dengan segera dia menjawab, “Kami datang kemari bukanlah kerana mahu bercakap perkara-perkara yang kosong. Kami semua ada prinsip dan kami mahu membahaskan masalah-masalah dasar. Kami telah pun menjelaskan pokok perbincangan kita di dalam surat kami dan saudari Isabella ini yang menjadi saksinya. Jadi, kalau tuan mahu membatalkan pokok persoalan awal kita itu dan mahu membincangkan tentang ketuhanan Kristus dan penebusan dosanya, saya juga bersedia asal saja tuan tuliskan bahwa kita batalkan masalah hukum-hukum agama itu dan kita patut bincangkan tentang ketuhanan Kristus dan penebusan dosanya pula.”

“Kami tidak bermaksud bahwa tuan tidak boleh bincangkan masalah-masalah itu,” kata Peter berdalih, “cuma kita patut tinggalkan isu-isu sampingan dan bincangkan masalah masalah dasar.”

Umar Lahmi mulai jengkel. “Jadi, kenapa tuan-tuan undang kami ke mari? Gereja dan masjid tidak perlu diperbahaskan. Kalau tuan-tuan tidak mahu berbincang, katakanlah dengan berterus terang supaya masa kami terbuang tidak sia-sia begini.”

“Tuan sudah salah faham tentang kata-kata Peter Suci. Dia tidak bermaksud kita tutup terus perbincangan ini. Dia cuma mahu menekankan bahwa pertanyaan-pertanyaan mengenai masalah dasar yang dapat tuan fikirkan, tuan kemukakan kepadanya. Tapi sekarang sudah tengah hari dan tuan-tuan mungkin akan pergi makan. Bila waktu yang sebaik-baiknya tuan-tuan dapat kemari lagi?” Michael cuba membujuk.

“Sekaranglah waktu yang sebaik-baiknya.” ujar Umar Lahmi. “Tidak sesiapa yang boleh menentukan apakah kita akan mendapat kesempatan yang berfaedah seperi ini lagi.” “Tapi tuan-tuan akan menunaikan solat?” kata Michael lagi. “Kami boleh bersolat di gereja ini.” jawab Umar Lahmi. Peter lalu mencelah. “Saya fikir lebih baik kita berbincang lagi hari Ahad depan.”

“Saya berpendapat perbincangan ini tidak boleh ditangguhkan terlalu lama. Mungkin kita mendapat petunjuk dari Allah.” kata Umar Lahmi. “Baiklah. Kita sambung perbincangan ini esok pada masa yang sama sampai tengah hari.” “Jika perbincangan ini mahu ditangguhkan sampai esok,” Isabella tiba-tiba ikut campur, “tidak usah diberhentikan sampai tengah hari tetapi dilanjutkan sehingga petang. Barangkali kita boleh sampai kepada sesuatu keputusan.” Michael segera menjawab, “Sama sekali tidak. Tidakkah kita ada membuat kerja-kerja lain juga?” “Saya fikir tidak ada kerja lain yang lebih penting daripada perbincangan ini.” jawab Isabella, tidak mahu kalah.

Orang ramai mulai bising. Akhirnya, diadakan satu perbincangan kecil di antara para paderi dan Umar Lahmi serta sahabat-sahabatnya. Mereka membuat keputusan akan menghentikan perbincangan hari itu sampai di situ saja dan akan disambung semula esok dari pagi sampai ke tengah hari. Pertemuan yang pertama itu pun berakhir. Setelah mengucapkan terima kasih kepada semua orang-orang Kristian, Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya meninggalkan gereja besar.

Isabella dan para paderi lain masih tinggal sehingga semua hadirin keluar meninggalkan tempat itu, pulang ke rumah masing-masing.

Setelah orang-orang lain habis keluar, paderi yang berbadan kurus bermuka cengkung bangun lalu berjalan mendekati Isabella.

“Amat mendukacitakan yang kamu telah memberi kesempatan kepada orang-orang kafir itu untuk mengemukakan keraguan mereka dan mengejek agama Kristian.”

Belum sempat Isabella menjawab, paderi itu berjalan ke tempat Michael. “Satu satunya cara mahu melayani orang-orang murtad itu ialah meletakkan Quran di hadapan mereka. Peter Suci telah berbuat serupa itu pada mulanya tetapi malang, mereka menggelecek keluar dan membahaskan tentang hukum hukum agama. Kalau esok terjadi lagi yang serupa, alamat kita akan dikecewakan dengan teruk kerana mereka tanyakan ialah tentang rahsia ketuhanan yang tidak siapa pun tahu kecuali wali-wali saja.”

“Sebetulnya perbincangan itu sejak awal lagi telah menyimpang ke saluran salah kalau tidak mereka telah tunduk oleh Quran mereka sendiri.” kata Michael menyampuk paderi kurus itu. “Bukankah Quran ada mengatakan yang Tuhan Jesus kita itu ‘pembawa hidup’ dan menghidupkan semula yang sudah mati? Bukankah Quran menyebutnya ‘Roh Allah’ dan ‘Kalimat Allah’? Peter kemudian berkata, “Pokok perbincangan esok hari sudah ditetapkan. Iaitu mengenai ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Aku dengan licik telah memesongkan mereka ke pokok persoalan lain tetapi kau, Michael, telah membawa mereka kembali ke persoalan itu.”

“Tuan jangan salahkan saya. Itu semua perbuatan tuan sendiri.” jawab Michael menangkis tuduhan paderi tua itu. “Buat apa lagi kita memuaskan nafsu dengan perbalahan sesama sendiri.” kata seorang paderi lain. “Kita tunggu esok dalam perbahasan tentang ketuhanan Jesus. Agama Kristian kita bukan seperti bubur lembutnya boleh ditelan dengan sekali teguk saja.”

Dia bangun dan meminta diri. Semua paderi pun ikut meminta diri dan meninggalkan gereja. Mereka pulang ke tempat masing-masing dengan membawa berbagai-bagai mcam fikiran.

Isabella dan ketiga orang sahabatnya berjalan di belakang paderi-paderi itu. Dalam masa berjalan itu, dia berkata kepada sahabat-sahabatnya.

“Cuba kalian lihat. Di belakang orang-orang Muslim, mereka bercakap besar bahwa orang-orang Muslim tidak akan dapat berhadapan dengan mereka. Tetapi bila duduk berhadapan, tembelang mereka terdedah semuanya. Aku sangat menyesal bapaku terpaksa meninggalkan gereja sebaik saja selesai dia memimpin sembahyang kerana dia terlalu percaya dengan kebolehan dan ilmu Bapa Michael dan Bapa Peter. Kalau tidak, dia tentu boleh tutup mulut orang-orang Muslim itu.” “Sebenarnya, masalah itu terlalu berat, apakah bapamu sanggup menghadapinya?” Salah seorang sahabatnya menyahut.

Seorang lagi mencelah, “Sebenarnya, kepercayaan dan dogma kita terlalu kabur. Kalau tidak masakan paderi paderi kita itu terpukul begitu teruk?”

“Minta dijauhkan Tuhan! Baru saja sekali berbahas kamu berdua sudah mula berputus asa. Kepercayaan kita cukup teguh asasnya tetapi mesti ada seseorang yang boleh menjelaskannya. Lihat saja esok nanti. Bila ketuhanan Kristus dibahaskan betapa teruk mereka akan dihentam.”

Mereka lalu berpisah di persimpangan jalan. Masing-masing pulang ke rumahnya.

Khamis, 23 September 2010

Isabella Bab 3

Surat Menyurat

Pada suatu petang, selang beberapa hari kemudian, Isabella pergi lagi ke taman yang sama tempat dia mendengar perbincangan dua orang Muslim yang hebat itu. Tidak lama setelah dia mengambil tempatnya yang biasa, Umar Lahmi dan Maaz pun tiba. Mereka duduk di tempat yang dulu juga. “Aku telah mendengar satu laporan yang aneh dan menarik hari ini.” kata Umar Lahmi. “Apa dia?” tanya Maaz dengan agak terkejut. “Keraguan yang tuan timbulkan mengenai salah satu ayat di dalam surat St Paul tempoh hari,” kata Umar Lahmi, “rupanya telah sampai ke telinga ketua paderi. Akibatnya, satu keributan telah terjadi di kalangan para paderi. Sehingga ada orang yang berfikiran sihat telah menjadi ragu-ragu.” Mendengar cerita sahabatnya itu, Maaz dengan tenang menjawab, “Ya, itu hanyalah khabar angin saja atau gunjingan belaka. Siapa gerangan yang ada mendengar perbincangan kita?”

Umar Lahmi agak gempar melihat tanggapan Maaz yang dingin terhadap berita penting yang telah disampaikannya. “Siapa yang mendengar perbincangan kita, kata tuan? Takkanlah tak ada angin pokok boleh bergoyang? Paderipaderi itu menjadi begitu heboh.” “Jadi, apa yang menyebabkan mereka itu heboh begitu sekali?” tanya Maaz apabila melihat kegusaran sahabatnya. “Apakah ini kali pertama paderi-paderi itu mendengar keraguan kita?” “Sebab-sebabnya aku sendiri pun tidak tahu tetapi apa yang aku dengar ialah para paderi itu sudah mula gelisah kerana keberatan-keberatan kita itu. Beberapa kali mesyuarat telah mereka adakan untuk mencari jawaban. Berita itu sampai kepadaku melalui sumber-sumber Kristian.” kata Umar Lahmi.

Mendengar penjelasan sahabatnya, Maaz tersenyum kecil. Hatinya merasa geli. “Baru cuma satu bantahan saja paderi-paderi itu sudah heboh demikian rupa. Bagaimana pula kepercayaan kepercayaan Kristian yang lain yang menggelikan itu? Dosa yang dilakukan Adam hukuman dikenakan kepada semua anak cucunya. Seluruh umat manusia dicalit dengan noda dosa itu. Apakah kepercayaan ini ada mempunyai dasar kebenaran? Sebagai pembalasan terhadap dosa semua pembuat dosa, orang yang tidak berdosa dikenakan hukuman dan disuruh pikul beban semua dosa. ‘Putera Tuhan’ turun ke bumi lalu disalibkan. Tidakkah hal ini sudah melampaui batas, menjadikan Tuhan seorang yang lemah dan tidak berdaya? Kalau benar orang-orang Kristian itu ada mempunyai jawaban terhadap semua soalan ini, sila maju ke depan dan jelaskan kepadaku.”

Umar Lahmi ketawa besar mendengar kata-kata Maaz. Sambil mengesat air mata, dia berkata,”Kalau bukan orang Kristian yang sanggup mengada-adakan hal yang buka nbukan serupa itu, siapa lain lagi yang boleh mengadakannya? Semua orang boleh bercakap secara wajar tetapi mesti pula ada orang yang bercakap kosong.” Setelah diam sejenak, Maaz lalu berkata perlahan seolaholah seperti kepada dirinya sendiri. “Aku fikir sudah sampai masanya kita mengeksploitasi keributan yang timbul sekarang ini.” “Itu satu cadangan yang baik.” sahut Umar Lahmi dengan cepat. “Kita mesti keluarkan poster yang berisi dengan segala macam kepercayaan Kristian yang bukan-bukan itu.” “Bagus.” Maaz menyampuk. “Akan menimbulkan keributan di kalangan orang-orang Kristian di seluruh negeri Sepanyol.”

Isabella bersama-sama dengan dua orang sahabatnya yang duduk di salah satu sudut taman yang berhampiran dengan tempat kedua orang Muslim itu, mendengar semua percakapan tersebut. Wajah mereka yang putih bersih menjadi kemerah-merahan kerana menahan geram. Akhirnya, dia tidak dapat lagi menahan perasaan hatinya lalu dia berkata kepada kedua orang sahabatnya. “Ini tidak boleh jadi. Kita mesti menyangkal semua tuduhan mereka dan kita mesti melakukan apa saja untuk menyakinkan mereka. Mudah-mudahan Tuhan Kristus akan menarik mereka ke sebelah kita. Andaikata orang-orang Muslim ini dapat dikristiankan, alangkah besarnya kemenangan bagi dunia Kristian. Dengan itu, sekaligus orang orang Muslim yang lain tidak dapat menegakkan kepala mereka lagi di negara ini.” Sambil mengucapkan kata-kata akhir itu, Isabella mengangkat muka dengan bersungguh-sungguh memanjatkan doa meminta Tuhan membawa orang-orang kafir ini dan musuh kaum Kristian masuk ke dalam pelukan agama Kristian. Dengan demikian, semakin nyatalah keagunganNya.

“Isabella,” ujar salah seorang sahabatnya sebaik-baik saja Isabella menundukkan muka semula. “Orang-orang kafir ini sangat keras kepala. Bagaimana mereka boleh meninggalkan syaitan dan menyambut tangan Tuhan Kristus? Tambahan pula, yang sulit adalah paderi-paderi kita sendiri. Mereka takut kepada orang-orang Muslim. Macam kelmarin saja, setelah aku melihat kegusaran kau tentang keraguan mereka terhadap hukum-hukum agama kita dan tentang kutukan yang mereka perkatakan, aku tanya kepada paderi gereja kita. Mereka buat acuh tak acuh saja sambil berkata tak usah hiraukan sangat apa yang dikatakan oleh orang-orang Muslim itu. Jawaban mereka bukan pembahasan tetapi hunusan pedang. Bila sikap paderi-paderi kita serupa itu tak hairanlah kalau orang-orang Muslim semakin angkuh.”

“Masalahnya bukan paderi-paderi kita tidak mahu berbincang dengan orang-orang yang tidak beriman itu atau sengaja mendiamkan diri.” kata Isabella menjawab komen sahabatnya. “Diam mereka bukanlah bererti mereka tidak dapat menghuraikan masalah tetapi mereka mahu jaminan kalau nanti sesudah diberi keyakinan, semua orang-orang Muslim itu bersedia memeluk agama Kristian. Maka paderipaderi kita dengan senang hati mahu berhadapan dengan mereka.”

Sahabat Isabella diam sejurus mendengar kata-kata Isabella. Dalam kepalanya terlintas satu idea. “Bagaimana kalau kita minta satu pengakuan bertulis daripada orang-orang Muslim itu bahwa mereka bersedia bersemuka dengan paderi-paderi kita. Dengan surat itu pula kita boleh mendesak cendekiawan Kristian untuk bercakap dengan orang-orang Muslim itu dan memaksa mereka memeluk agama kita.” “Cadangan itu baik sekali. Tetapi apakah orang-orang Muslim itu bersedia menerima?” tanya Isabella sedikit ragu. “Mengapa pula tidak?” Bukankah kau juga baru mendengar dari mulut mereka sendiri?”

“Kalau begitu kenapa mesti kita tunggu lagi? Di sini juga kita beritahu mereka agar bersedia berbincang dengan paderipaderi kita. Aku akan tuliskan secarik surat yang akan aku sampaikan kepada mereka dan lihat apa jawabannya.” kata Isabella dengan perasaan gembira. “Tetapi …!” “Tetapi apa lagi?” Isabella yang baru mahu mengeluarkan pena dan kertas dari begnya terhenti sebentar lalu memandang wajah sahabatnya dengan ragu-ragu. “Tetapi bukankah baik kita mendapatkan jaminan daripada paderi-paderi kita lebih dulu? Nanti apa akan jadi kalau orang-orang kafir itu bersedia dan paderi-paderi kita menolak?” Kalau orang-orang ini sudah membuat perjanjian dengan bertulis bahwa mereka akan memeluk agama Kristian apabila sudah diyakinkan kebenarannya,” ujar Isabella, “maka cendekiawan kita sudah pasti mahu berdialog dengan mereka.” Mendengar penjelasan itu, sahabatnya pun diam.

Isabella mengeluarkan pena dan secarik kertas lalu menulis:

Maafkan saya. Saya telah mendengar dengan penuh perhatian perbincangan rahsia
tuan-tuan itu. Bersebab kami juga berminat dalam masalah-masalah yang berkaitan
dengan agama, saya percaya tuan-tuan tidak keberatan dengan gangguan saya ini.
Saya telah mendengar salah seorang daripada tuan ada berkata kepada temannya bahwa
jika kami penganut Kristian dapat memberi penjelasan yang memuaskan tentang
perhubungan antara hukum-hukum agama dengan kutukan, tuan bersedia memeluk agama
kami.

Tuan juga mahu mencabar kami, orang-orang Kristian, tentang hukum-hukum agama dan
kutukan. Jadi, sebagai hamba Tuhan Jesus Kristus, kami dengan sangat senang hati
menyambut cabaran tuan dengan syarat tuan membuat pengakuan bertulis.

Hamba hina agama Kristian


Surat itu telah diserahkan oleh sahabat Isabella kepada Umar Lahmi. Agak terperanjat juga Umar kerana tiba-tiba saja seorang anak gadis datang menyerahkan surat serupa itu kepadannya. Gadis itu pula tidak dikenali sebelumnya. Maaz memandang sahabatnya dengan pandangan yang berisi pertanyaan.

“Surat apa ini?” tanya Umar Lahmi kepada sahabat Isabella. “Dari teman saya. Dia sedang menunggu jawaban tuan.” jawab gadis itu.

Umar Lahmi menyambutnya dengan perasaan yang berdebar-debar. Dia membuka lipatan surat sambil dahinya berkerut-kerut. Setelah membaca isinya, wajah Umar kembali berseri-seri. Dengan senyum kecil, dia menunjukkan surat itu kepada Maaz. Maaz mengangguk-anggukkan kepala dan memberi isyarat kepada Umar Lahmi supaya menjawab segera.

Umar Lahmi pun mengeluarkan kertas dan pena lalu menulis:

Kami mengucapkan terima kasih di atas susah payah
nona. Kami bersetuju sekiranya anggota-anggota gereja dapat memberi penjelasan
kepada kami tentang dilema hukum hukum agama dan kutukan dengan penjelasan yang
memuaskan, saya dan sahabat saya akan memeluk agama Kristian. Sila nyatakan tempat
dan tarikh perbahasan akan diadakan.

Hamba hina agama Islam
(Umar Lahmi)


Setelah selesai ditulis dan ditandatangani, surat itu pun diserahkan kepada sahabat Isabella yang segera pula kembali ke tempatnya semula. Isabella sangat gembira menerima balasan surat tersebut, lebih-lebih lagi apabila dia mengetahui bahwa rancangannya dipersetujui oleh kedua pemuda Muslim itu. Dia segera membalasnya.

Tentang masa dan tempat, saya sendiri akan datang
memberitahunya esok.

Hamba yang hina


Surat itu ringkas saja dan setelah disampaikan kepada Umar Lahmi, mereka pun beredar dari tempat itu dengan satu masalah baru pula. Siapa gerangan orang yang akan berhadapan dengan orang-orang Muslim itu. Sebaik saja keluar dari taman Cordova itu, Isabella terus saja ke tempat gurunya yang baik hati. Diceritakan kesemua yang berlaku tadi kepadanya. Guru itu yang juga seorang paderi adalah seorang yang benar-benar mengetahui semua masalah agama. Ketika dia melihat Isabella dalam keadaan resah gelisah, dia pun memarahinya dan memberitahu itu bukan suatu masalah besar yang boleh sampai merunsingkan fikiran. Isabella lalu menunjukkan surat Umar Lahmi.

Apabila guru itu membaca surat tersebut, dia pun bersetuju mahu membahas perkara itu dan merasa seseorang yang berpengalaman dan terkemuka patut ikut mengambil bahagian. Kesediaan gurunya membuat hati dan perasaan Isabella yang gundah menjadi tenteram dan membolehkannya pulang ke rumah dalam keadaan selesa. Guru itu berjanji akan menetapkan tempat dan tarikh sebelum tengah hari esok.

Malam itu, Isabella tidak dapat tidur dengan nyenyak. Berbagai-bagai macam persoalan terus menerus menghantui fikiran. Apa akan terjadi sesudah esok hari? Andaikata cerdikpandai Kristian tidak dapat memberi penjelasan yang memuaskan kepada orang-orang Muslim, maka orang Kristian akan dipertakuti sepanjang zaman. Akhirnya, pagi pun tiba. Setelah selesai membersihkan dirinya, Isabella mengambil Kitab Injil dan mentelaahnya. Menjelang tengah hari barulah dia keluar dan mengajak kedua orang sahabatnya yang akrab pergi ke rumah guru. Di sana mereka melihat sudah ramai paderi yang berkumpul seolah-olah mereka sedang menunggu seseorang yang penting. Apabila orang yang ditunggu itu tiba maka dia pun dipersilakan duduk di sebuah kerusi yang khas.

Guru Isabella, sesudah mengucapkan puji-pujian kepada Jesus Kristus, menerangkan tujuan perhimpunan diadakan dan dengan bersungguh-sungguh meminta semua cendekiawan yang hadir supaya berani dan bersedia untuk berdialog dengan orang-orang Muslim dan mencuba untuk menarik mereka masuk Kristian. “Kami merasa hairan apakah gerangan masalah besar sehingga kami semua disuruh berkumpul di sini.” kata seorang paderi yang berbadan kurus dan bermuka cengkung, nada suara seperti mengejek. “Tetapi bila sampai kemari, aku dapati hanyalah satu perkara remeh saja yang mahu dibincangkan. Panggil saja orang-orang Muslim itu ke mari sekarang juga dan sesiapa saja di antara kita dengan mudah boleh menyakinkan mereka.”

Seorang paderi lain yang bertubuh gemuk dan berkepala bulat dan licin menyampuk. “Memang benar perkara ini bukanlah besar sangat, kita pun selalu mengadakan perbincangan dengan orang-orang Muslim. Tapi setelah ada berita tersebar yang mengatakan orang-orang Kristian tidak dapat menjawab keraguan orang orang Muslim maka perkara ini sekarang dapat dianggap sebagai perkara besar dan penting. Kita patut tetapkan masa untuk perbincangan itu.”

“Besok hari Ahad dan semua penganut Kristian akan berkumpul di gereja besar. Ada baiknya kita memanggil mereka esok pagi. Mudah-mudahan Tuhan Jesus memberi petunjuk kepada mereka.” ujar seorang paderi lain yang kelihatan lebih muda daripada yang lain.

Cadangan itu disampuk segera oleh seorang paderi tua yang duduk di sebelah Michael. “Itu satu cadangan yang baik.” Dia memandang muka Isabella yang sedang duduk berhadapan dengan Michael. “Bapamu yang mulia yang memimpin sembahyang di gereja itu mesti ikut hadir sebab ada kemungkinan kami memerlukan bantuannya sewaktu waktu. Apatah pula kamu sendiri yang menjadi perantaraan dalam perbincangan antara kita dengan orang-orang Muslim.”

Seorang paderi yang perawakannya gemuk dan pendek menambah, “Bapamu ialah ketua semua paderi di Sepanyol ini. Tidak ada orang lain yang lebih alim daripadanya tentang hukum-hukum agama Kristian. Sebab itu kehadiran bapamu amat diharapkan.”

Pada waktu itu, Michael, guru Isabella, segera menjawab, “Susah tentu!” Setelah berlaku perbincangan yang agak serius, akhirnya dicapai kata sepakat, cadangan mengadakan dialog dengan orang-orang Muslim itu diterima dengan sebulat suara dan hari Minggu telah ditetapkan sebagai hari dialog itu diadakan. Atas permintaan Isabella, Michael telah menulis surat memberi kebenaran kepada Umar Lahmi untuk masuk ke dalam gereja besar pada hari tersebut.

Waktu perbincangan itu selesai. Matahari sudah condong ke barat. Isabella dan kedua sahabatnya meminta diri diikuti Mirano, anak Michael. Mereka berjalan perlahan-lahan menuju ke taman tempat Umar Lahmi dan Maaz menunggu. Mereka dapati selain daripada Umar Lahmi dan Maaz ada orang lain pula bersama-sama mereka. Baru pada petang itulah Umar Lahmi dan Maaz melihat wajah Isabella dari dekat. Mereka terpegun sejurus lamanya kerana terpesona dengan wajahnya yang jelita itu. Kedua duanya mengucapkan ‘Subhanallah!’ di dalam hati, memuji kebesaran Allah.

Isabella lalu menyerahkan sendiri surat Michael, gurunya, kepada Maaz. Surat itu segera dibuka dan dibaca untuk didengar oleh semua yang hadir. “Kami semua sangat berterima kasih di atas segala susah payah nona.” kata Maaz. “Andaikata pihak mana saja yang nanti mendapat petunjuk, maka pahalanya pertama sekali nonalah yang menerimanya.”

“Aku mendengar nona ini ialah seorang cendekiawan dalam ilmu falsafah Kristian di samping seorang ahli teologi yang terpelajar. Sesungguhnya pujian yang tinggi patut kita berikan kepadanya kerana usaha mahu melepaskan kita daripada ‘kemungkaran’.” kata Umar Lahmi kepada teman temannya.

Isabella agak tersipu-sipu sedikit mendengar puji-pujian Umar Lahmi itu. Dengan lemah-lembut dia menjawab, “Saya hanyalah seorang hamba hina Tuhan Jesus Kristus. Terima kasih banyak kerana sudi menerima jemputan kami.” Salah seorang Muslim yang hadir menyampuk dengan agak keras, “Astagfirullah. Tengok betapa orang-orang Kristian itu menyekutukan Allah dan memuja Nabi Isa. Memang benar mereka ini gila. Kalau tidak masakan manusia yang hidup …” Umar Lahmi dengan cepat memotong cakapnya untuk tidak perdebatan. Perkara itu akan kita putuskan esok di gereja besar.” menimbulkan kegusaran kepada Isabella. “Nanti dulu. Tuan secara tidak langsung sudah memulai perdebatan. Perkara itu akan kita putuskan esok di gereja besar”.

Kemudian dia memandang Isabella. “Nona boleh memberi jaminan kepada para paderi itu bagi pihak kami bahwa insyaAllah kami akan sampai di gereja esok sesudah sarapan.”

Isabella dan sahabat-sahabatnya pun meminta diri meninggalkan tempat itu. Mereka tidak lagi tunggu sampai matahari terbenam seperti yang seringkali mereka lakukan.

Rabu, 22 September 2010

Isabella Bab 2

Masalah Yang Kacau

Apabila sampai di pintu gerbang sebelah timur kota itu, Isabella, anak gadis yang masih muda dan cantik itu mengambil jalan yang membawanya lurus ke Qasrus Syuhada. Kerajaan Islam pada masa itu telah mengeluarkan biaya yang banyak bagi memperindahkan seluruh negeri Sepanyol. Jalanraya di kota Cordova diperluas dan dibina dengan binaan yang baik, dihiasi dengan lampu-lampu yang cantik pada jarak yang dekat, sehingga menyilaukan mata memandang. Seperti yang pernah dikatakan orang, kita boleh berjalan sejauh dua puluh lima kilometer di bawah cahaya lampu jalan yang benderang serupa itu. Isabella berjalan perlahan-lahan dengan penuh keanggunan di atas jalanraya yang lebar dan bermandikan cahaya lampu. Dia menuju ke Qasrus Syuhada ke arah rumah kediamannya dengan kepala yang berat berisi pertanyaan. Namun hayunan langkahnya tetap teratur sebagai gadis terhormat.

Pada kebiasaannya, dia akan singgah di rumah teman-teman yang dekat apabila dia pulang dari bersiar-siar pada petang hari serupa itu tetapi kali ini dia terus menuju ke rumah dan kelihatan seperti tenggelam dalam suatu fikiran yang merunsingkan.

Kira-kira setengah jam kemudian, dia pun sampai di pintu gerbang rumah yang juga seperti sebuah istana. Orang gaji sedang menunggu di muka pintu untuk menyambut ketibaannya. Sambil menjawab dengan ringkas akan pertanyaan orang gaji akan sebab musabab dia lambat pulang, Isabella terus masuk ke dalam bilik lalu menghempaskan diri ke atas sebuah kerusi malas. Dia mencapai sebuah kitab lalu membaca.

Orang gaji, setelah menyambut Isabella, terus ke dapur menyediakan makan malam. Meja makan dikemas dan hidangan diletakkan di atas. Setelah itu, dia memanggil Isabella tetapi Isabella tidak menyahut karena terlalu asyik dengan kitab yang dibaca. Kitab yang sedang ditelaah itu ialah Kitab Injil dan perhatiannya khusus ditujukan kepada surat-surat St Paul yang menuduh hukum-hukum agama sebagai satu kutukan. Dia membaca surat-surat itu berulangulang tetapi tidak mendapat jawaban kepada kesangsiannya malah semakin kacau setiap kali dia membaca. Apabila otaknya terasa penat, dia meletakkan kitab sambil membuat keputusan akan bertanya kepada bapanya saja. Sudah tentu bapanya dapat memberikan penjelasan yg sangat memuaskan.

Pada fikiran Isabella masalah itu tidaklah terlalu sukar sehingga tidak dapat dihuraikan. Andaikata dia menemui jalan buntu, bapanya tentu dapat menolong karena bapanya ialah seorang terpelajar agama yang tidak ada dua di negara Sepanyol.

Setelah tenang kembali barulah dia keluar ke ruang makan dan makan seorang diri sambil dilayan dengan penuh hormat oleh orang gaji. Isabella kembali mentelaah Kitab Injil sebaik saja kembali ke bilik. Dia membaca kitab itu sampai tertidur dan tidurnya pula amat nyenyak hingga ke pagi.

Isabella bangun agak awal karena dia mesti pergi ke gereja. Pagi itu pagi Minggu. Waktu pulang dari gereja dia dipanggil bapanya dan bertanyakan Kitab Injil yang dibacanya tadi malam. Isabella sedang terlibat di dalam pembelajaran tentang pemahaman makna hakiki metafizika.

Isabella menemui bapanya di bilik bacaan yang besar yang dipenuhi dengan berbagai-bagai buku. Dicapai tangan kanan bapanya lalu dicium.

“Sila duduk anakku.” kata bapanya sambil memberi isyarat dengan tangan. Isabella mengambil sebuah kerusi dan duduk tidak jauh dari bapanya. “Sampai ke mana sudah pelajaranmu?” tanya bapa Isabella sambil merenung muka anaknya. “Saya sudah membaca Jonah 21, Bab 3. Kalau bapa memberi izin, saya ingin bertanya karena saya belum lagi dapat mencari jawaban.”

“Sudah tentu, anakku. Tanyalah dan bapa akan menjawab.” ujar bapa Isabella dengan perasaan gembira melihat kecerdasan anaknya. “Dua Belas Firman Tuhan yang Tuhan firmankan kepada kita di dalam Perjanjian Lama melalui Nabi Musa, apakah itu ada mengenai dengan hukum-hukum agama?” “Ya, semua itu ada berkaitan dengan hukum-hukum agama.” jawab bapa Isabella dengan perasaan agak hairan sedikit tentang pertanyaan anaknya itu. Isabella diam sejurus sambil mengangguk-anggukkan kepala. Kemudian dia bertanya lagi. “St Paul ada berkata di dalam salah satu suratnya bahwa hukum-hukum agama itu merupakan satu kutukan, betulkah begitu, bapa?”

“Memang benar. Hukum-hukum agama itu adalah satu kutukan dan untuk menyelamatkan kita daripada itu, Jesus Kristus diturunkan ke dunia ini dan disalib.” “Jadi jelaslah sekarang bahwa hukum-hukum agama itu satu kutukan dan begitu hebat kutukan itu maka Jesus Kristus turun ke dunia ini untuk membuangnya dan kemudian dia disalib.” Isabella mengulangi.

Kemudian dia menyambung, “Kalau begitu bererti mematuhi hukum-hukum agama itu pun satu kutukan jugalah, bapa?” “Memang benar ia satu kutukan dan orang-orang Kristian sekarang sepatutnya daripada mengikut hukum-hukum agama, adalah lebih baik mengimani Jesus Kristus karena hukum-hukum agama hanya sah berlaku sehingga Tuhan Jesus belum disalib.” “Jadi bolehlah kita mencuri?” “Apa ada kaitan dengan hukum-hukum agama?

Anakku, sebelum kau membuat pertanyaan, fikirlah dulu masak masak kerana kalau ada orang lain mendengar, mereka akan mengatakan kau ini anak yang bodoh.” “Maafkan saya, bapa.” ujar Isabella sambil merendahkan suara. “Barangkali pertanyaan yang saya kemukakan itu tidak begitu jelas. Apa yang saya maksudkan ialah di antara firman firman itu yang baru bapa katakan, adalah bahagian daripada hukum-hukum agama. Salah satu daripadanya ialah kita tidak boleh mencuri dan yang satu lagi kita tidak boleh menindas tetangga kita dan yang ketiga kita tidak boleh menderhakai ibubapa kita. Semua perintah ini masih menjadi bahagian daripada ‘hukum-hukum agama’ yang menurut St Paul merupakan satu kutukan. Jadi, mematuhi Firman-Firman Perjanjian Lama ini iaitu tidak mencuri, tidak berzina ialah sesuatu yang dibenci sementara tidak mencuri dan tidak menganiaya ibubapa pula satu kutukan.” “Anakku,” kata bapa Isabella, “kau sebenarnya belum begitu faham betul tentang kedudukan hukum-huum agama. Tapi, cubalah beritahu aku siapa gerangan yang telah memasukkan pertanyaan bodoh serupa itu ke dalam kepalamu. Syaitan manakah pula yang menyebabkan kau ragu-ragu begini?”

Isabella sebagai anak yang baik lalu menceritakan kepada bapanya tentang perbincangan dua orang Muslim yang dapat didengarnya di taman petang kelmarin. Setelah mendengar keterangan anak yang disayangi itu, bapa Isabella pun berkata dengan suara rendah membujuk. “Anakku,” katanya “kau telah tahu benar bahwa orang-orang Muslim itu ialah orang-orang kafir dan sentiasa menentang agama suci kita. Mereka mengkritik kitab-kitab suci kita kerana fikiran mereka telah dihasut syaitan.” Dia berhenti sejenak. Memandang muka anaknya untuk melihat reaksi dari keterangannya. Kemudian dia menyambung.

“Kau patut bertaubat segera dan berjanji tidak akan mendengar percakapan mereka itu lagi. Mereka orang-orang Muslim tidak beriman dan selalu menuduh agama yang benar orang lain. Tahukah kau, anakku, apakah agama mereka itu? Pertumpahan darah ialah pekerjaan yang patut dipuji dalam agama mereka. Cuba lihat! Mereka menyerang negara kita, Sepanyol dan membunuh beratus-ratus orang yang tidak berdosa. Sesudah itu, mereka paksa pula agama mereka kepada kita. Aku tahu tentang kecaman-kecaman yang kau telah dengar dari orang-orang Muslim itu. Kalau kecaman itu daripada fikiranmu sendiri maka dapatlah aku membersihkannya tetapi bagaimana aku akan menjawab kepada mereka?”

Isabella menyesal kerana dia telah menyebut tentang orang orang Muslim itu. Kalau tidak, masalahnya telah dapat diselesaikan. Satu idea tiba-tiba melintasi di fikiran. “Baik aku tanyakan masalah ini kepada guruku. Aku selalu bertanya kepadanya apabila menghadapi sesuatu masalah dalam pelajaran,” kata hatinya. Keesokan hari, Isabella pun menjumpai guru yang bernama Michael lalu mengemukakan pertanyaan yang sama. Gurunya dengan penuh keyakinan merasa bahwa dia boleh menerangkan masalah yang dihadapi oleh muridnya. Jawabannya pasti dapat menghilangkan semua keraguan Isabella.

Penjelasan Michael tidak dapat memenuhi rasa ingin tahu Isabella. Dia mulai sedar bahwa keraguan itu timbul bukan kerana daya pemahamannya yang kurang tetapi masalah itu sendiri ialah satu masalah berat yang bukan saja untuk dirinya malahan juga untuk cendekiawan Kristian. Di sinilah bermula timbul rasa curiganya terhadap dasar-dasar lemah dalam ajaran Kristian. Kecurigaan itu semakin memberat di dalam fikiran.

Isnin, 20 September 2010

Kopiah VS Songkok

Sebuah sajak yang separuh lucu tapi sarat dengan sindirin tajam, ditulis penyair terkenal Nawawee Mohammad dan dimuatkan dalam media arus perdana tanggal 8 Februari 1998. Sajak itu diberi judul Songkok dan Kopiah.

Songkok dan kopiah itu asalnya sekapal
darjat mereka tidak pernah berubah,
berdiri sama tinggi duduk sama rendah,
tetapi berbalah-cekah tak sudah-sudah.

Berungkap nasihat menyengat
songkok selalu mengingatkan.
“Jangan lembik seperti kopiah,
tapi keras macam songkok”

Penuh yakin kopiah menjawab,
“Biar lembik asalkan putih.
Jangan keras apalagi hitam.
Sudahlah hitam sucimu diragukan.
Biar tak cantik jangan tak bersih”

Sindir songkok lagi,
“Jangan hidup seperti kopiah,
sesuai untuk pelikat bersandal getah,
sudahlah selekeh nilai amat rendah.”

Kopiah merendah menjawab tajam,
“Sehina-hinaku pernah juga mandi
menjamin kekal bersih dan suci,
untuk dijunjung mukmin merata-riti.
Semulia-muliamu sepanjang hidup
pernah mandi walaupun sekali.
Kalau ada, itu gila punya kepala.”

Tambah kopiah lagi.
“Hitam songkok sehitam tahi cicak
hanya umpama sang gagak,
walaupun dimandi air emas sekalipun
mustahil hitammu bertukar putih.
Putihku jika disabun dibilas-bilas
bertambah lagi berseri putih berseri.”

Dengan lembut songkok mengakui,
“Walaupun tidak pernah mandi,
aku sering ditayamun si berus
supaya kelihatan kemas terurus.
Selainnya aku sentiasa dijaga
daripada ditempiasi sang hujan
menjamin selalu keras dan kering
walau terpaksa menyemak dinding.”

Kopiah senyum menelan alasan
kemudian meminta fatwa bagaimana
amalan tayamun ala songkok
ketika hujan mencurah-curah?

Perbalahan antara songkok (UMNO) dengan kopiah (PAS) hingga saat ini mustahil bakal selesai, kerana songkok perjuangannya nasionalis, manakala kopiah landasan perjuangannya Islam.

Kredit to http://demitinta.blogspot.com
Read More..