Jumaat, 30 Julai 2010

Gugurnya 'Singa Allah'


Hamzah Asadullah-Inteam
KESEDIHAN PARA MUKMININ,
MASIH TERPANCAR DI PEDANG MUSYRIKIN,
SEDANG DARAH PARA SYUHADAK,
MASIH MERAH DI LANTAI SIRAH.

KETAMAKAN KEPADA HARTA,
MUNGKIN ITU JADI PUNCANYA,
MAKA ALLAH MENJADI MURKA,
SEHINGGA NABI PUN TURUT TERLUKA.
DALAM RAMAI UMAT YANG GUGUR,
SATU JASAD TUBUHNYA HANCUR,
KEPILUAN MERATAPAN,
MENANGISI SUATU KEHILANGAN.
DAN SETELAH DIKENALPASTI,
DIA HAMZAH PERISAI NABI,
JIWA RAGA DIKORBANKAN,
AGAR ISLAM TETAP TERSELAMAT.
DISEBALIK KETEWASANMU,
ADA SYURGA SEDANG MENUNGGU,
TIAP PERINTAH MENGANDUNG HIKMAH,
KEINGKARAN KAN MENGUNDANG PADAH.
HUA SAIDUNA HAMZAH ASADULLAH,
DIKAULAH PERISAI RASULULLAH,
BERJUANG BERKORBAN DEMI ALLAH.

SUDAHKAH PUAS HATIMU HENDON,
DAPAT MELAPAH HATI DAN JANTUNG,
TERBALASKAH DENDAM KESUMAT,
YANG SEKIAN LAMA TELAH TERSEMAT.
LAILAHAILLAH... LAILAHAILLAH...
LAILAHAILLAH... LAILAHAILLAH...


TERCETUSLAH perang Uhud. 'Singa Allah' itu tampil ke muka. Musuh pertama yang tumbang akibat pedang Hamzah ialah Artan bin Abdu Syurahbil, kemudian pembawa bendera Quraisy, Usman bin Abu Talhah, setelah itu Sibak bin Abdul Uzza dan berpuluh-puluh perajurit Quraisy bergelimpangan.

Setelah ramai tentera Qurasiy gugur, tibalah saat Hamzah menemui panggilan Allah.

Wahsyi menceritakannya:

"Kulihat Saidina Hamzah laksana singa garang. Kepala yang tercerai dari badan akibat pedangnya tidak terkira banyaknya. Ketika Sibak mengajaknya bermain pedang, Saidina Hamzah menjawab dengan pukulan yang mengakhiri ajal Sibak.

"Tidak jauh daripadanya aku bersembunyi di balik batu. Hamzah tidak melihatku. Kutujukan lembing ke arah Saidina Hamzah. Setelah aku pastikan sasarannya, aku segera melemparkan lembingku. Kulihat Hamzah rebah. Kubiarkan hingga dia mati.

"Setelah itu baru kudatangi dan kucabut lembing yang masih terbenam di tubuhnya. Aku lalu menghilang di tengah-tengah peperangan yang sedang bersemarak. Tujuanku hanya untuk membunuhnya. Tidak lebih dari itu."

Wahsyi menambah:

"Hindun membedah tubuh Hamzah sebaik-baik mengetahui 'Singa Allah' itu gugur. Diambil limpanya untuk dimakan. Tetapi kerana tidak sanggup menelannya, Hindun meluahkannya semula."

Hindun naik ke batu besar lalu berteriak lantang:

Dendam di Badar berbalas kini

Perang berkobar membakar segala

Hatiku pedih tidak terperi

Utbahku dahulu telah sirna. Nazarku kini sampailah sudah

Wahsyi pengubat luka dadaku

Baktimu Wahsyi kukenang sentiasa

Hingga tulangku berkecai dalam pusara.

Ketika diceritakan kepada Nabi Muhammad saw perihal perbuatan Hindun, Nabi bersabda:

"Adakah wanita durjana itu memakannya?"

"Tidak!" jawab mereka.

"Allah tidak memasukkan sedikit pun bahagian tubuh Saidina Hamzah ke dalam neraka," Nabi saw menambah.

Jenazah Hamzah telah disembahyangkan sebanyak 70 kali oleh orang ramai, kemudian barulah dikebumikan sekuburan dengan saudaranya, Abdullah bin Jahasy.

Rasulullah kemudian menyatakan, Malaikat Jibril telah mendatangi baginda dan memberitahu:

"Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib telah tertulis namanya sebagai warga langit yang tujuh."

Pada hari itu turunlah wahyu Allah bermaksud:

"Andai kamu menyeksa, seksalah sepadan dengan penyeksaan yang dilakukan kepadanya. Tetapi kalau kamu sabar, maka kebahagiaanlah bagi orang-orang yang sabar."

Wahyu Allah ini diturunkan sebagai meredakan hati Nabi saw. Segala perbuatan kaum Quraisy terhadap bapa saudaranya Hamzah, kemudian Nabi saw maafkan di samping melarang segala bentuk penganiayaan.

Baginda pulang bersama tentera Islam yang lain. Sebaik-baik saja baginda masuk ke rumahnya di Madinah, baginda terdengar suara ratapan beberapa orang wanita terhadap para pejuang mereka yang telah gugur.

"Gerangan apakah ini?" tanya baginda.

"Wanita-wanita Ansar meratapi para pahlawan mereka yang gugur, wahai Rasulullah!" sahut seorang sahabat.

"'Kasihan, Saidina Hamzah tiada wanita yang meratapinya," sabda Nabi saw lagi sambil berdoa untuk kebahagiaan Saidina Hamzah.

Ketika hari pembukaan (futuh) Mekah, Rasulullah SAW telah mengutus seseorang kepada Wahsyi untuk menyerunya kepada Islam. Akhirnya Wahsyi memeluk Islam, lalu dibawa ke hadapan Rasulullah SAW.

Rasulullah bertanya, "Kamukah yang bernama Wahsyi?"
"Ya," jawab Wahsyi.
"Kamukah yang telah membunuh bapa saudaraku Hamzah?" tanya Rasulullah.
"Benar," jawab Wahsyi. "

"Ceritakan kepadaku bagaimana kamu melakukan pembunuhan itu ," pinta Rasulullah.

Wahsyi pun menceritakan satu persatu apa yang telah dilakukan kepada bapa saudara Nabi itu, bagaimana tubuh bapa saudara baginda dilapah dengan kejam oleh Hindun dan dimakan hati dan jantungnya.Selesai sahaja bercerita, Rasulullah SAW yang dalam keadaan teramat sedih berkata kepadanya: "Pergilah kamu dari sini. Jangan engkau muncul lagi di hadapan mataku."

Hancur luluh hati Wahsyi mendengar kata-kata yang keluar dari mulut baginda. Namun dia akur dan insaf bahawa perbuatannya dahulu telah menyakiti hati kekasih Allah iaitu Rasulullah SAW. Walaupun dosanya telah diampunkan lantaran memeluk Islam, tetapi atas kasih sayang Rasulullah, dia dilarang menampilkan diri di hadapan baginda, takut-takut perasaan Rasulullah tercacat apabila terpandang wajahnya. Mencacatkan hati kekasih Allah sangat besar akibatnya dan tidak akan selamat di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat.

Lalu Wahsyi yang sedar akan kedudukannya, redha menerima ketentuan itu. Dia memperbaiki dirinya dan meningkatkan ketaqwaannya kepada Tuhan. Sewaktu-waktu menghadiri majlis baginda, Wahsyi mengintai-ngintai dari jauh untuk melihat wajah Rasulullah SAW. Semakin hari hatinya semakin cinta dengan Nabi SAW. Dan semakin hari hatinya juga semakin rasa berdosa terhadap baginda atas perbuatannya dahulu. Lalu timbul azam di hatinya untuk menebus kembali dosa-dosanya itu dengan melakukan sesuatu yang akan menggembirakan baginda.

Wahsyi bertekad dan berazam tidak akan pulang lagi ke Kota Mekah demi untuk merebut cinta kekasih Allah iaitu Muhammad SAW. Beliau benar-benar ingin menebus kesalahannya dengan menyebarkan Islam. Keazaman Wahsyi itu telah dibuktikannya dengan menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk berdakwah mengajak seramai mungkin manusia kepada Islam, hingga akhirnya beliau mati di luar Jazirah Arab.

Download
Mp3
Ringtone

Tiada ulasan: