Jumaat, 18 Jun 2010

Mengenali definisi Melayu secara universal

Ubahsuai dari sumber : faizn in Malay-Islamic Related Articles

Banyak definisi tentang Melayu. Ada definisi sempit. Ada definisi longgar. Di Malaysia sesetengahnya berpendapat takrif Melayu adalah sempit iaitu seseorang Melayu mesti beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengikut budaya Melayu. Tetapi hakikatnya terlalu longgar juga kerana seseorang itu tidak perlu berdarah keturunan Melayu. Cukup sekadar dengan tiga syarat itu. Paling penting ialah dia mesti beragama Islam. Maknanya, di Malaysia, gen tidak penting bagi menentukan Melayu. Yang penting adalah faktor KEBERSAMAAN iaitu agama, bahasa dan budaya. Jika takrif ini dikenakan ke atas Melayu Thai, maka mereka tidak layak untuk dipanggil Melayu.

Ini kerana mereka sudah tidak berbahasa Melayu terutamanya di sekitar Phuket. Kerana itu takrif Melayu yang dipakai di Malaysia tidak sesuai untuk digunakan di Thailand. Namun begitu, kemelayuan Melayu Thai tidak dapat dipertikaikan walaupun mereka tidak berbahasa Melayu. Ini kerana mereka sememangnya mewarisi Kesultanan Pattani yang jelas merupakan kerajaan Melayu.

Empat wilayah Melayu Thailand itu adalah sebahagian daripada kepulauan Melayu. Sejarah menjadi ciri penting bagi jati diri Melayu. Thailand Selatan adalah jelas Melayu kerana di situlah warisan kesultanan Pattani yang kini berbentuk empat wilayah Melayu iaitu Yala, Narathiwat, Pattani dan Songkhla. Nama Melayu Songkhla ialah Singgora. Seperti mana Phuket adalah Bukit. Kemelayuan mereka tidak dipertikaikan walaupun sudah banyak penduduk Melayu di situ hanya mampu berbahasa Thai. Di samping kedaulatan Thailand ke atas empat wilayah itu diterima oleh orang Melayu sendiri.

Jadi, siapakah mereka? Adakah mereka itu orang Thai atau orang Melayu. Atau orang Thai keturunan Melayu. Atau orang Melayu Thai. Jati diri menjadi tanda tanya.

Begitu juga dengan Melayu Champa di Vietnam dan Kemboja. Mereka juga orang Melayu. Tetapi wilayah mereka sudah tidak dianggap sebagai sebahagian daripada kepulauan Melayu walaupun Champa merupakan kerajaan Melayu paling awal, baik semasa mereka beragama Hindu-Buddha mahupun setelah memeluk Islam.

Begitu juga Melayu di Sri Lanka, Madagascar, Surinam dan Afrika Selatan. Mereka adalah melayu tetapi tentunya tanah mereka bukan sebahagian daripada kepulauan Melayu. Walaupun Madagascar, umpamanya pada keseluruhannya didiami oleh bangsa Malagasy yang merupakan sebahagian daripada rumpun Melayu.

Justeru, untuk memudahkan definisi melayu, biarlah dihadkan kepada kepulauan melayu. Sesiapa yang tinggal dalam kepulauan Melayu, maka dianggap sebagai Melayu. Mindanao ialah pulau ke-19 terbesar di dunia. Ia adalah pulau Melayu. Apa yang dimaksudkan dengan Melayu di sini dalam erti kata yang luas. Ia juga merujuk kepada Kepulauan Melayu yang meliputi negara-negara Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina. Bukan itu saja, ia juga meliputi Thailand Selatan, Timor Leste, malah Papua New Guinea.

TERMASUK Timor Leste dan Papua New Guinea. Dari segi bangsa, Timor Leste bukanlah berbangsa Melayu dalam erti kata yang difahami umum. Walaupun mereka pernah menjadi sebahagian daripada Indonesia.

Tetapi bangsa di Timor Leste adalah serupa saja dengan penduduk di Timor Barat yang merupakan sebahagian daripada Indonesia. Ini kerana Timor Leste, yang dahulunya dikenali sebagai Timor Timur berkongsi pulau dengan Timor Barat. Dan pulau ini adalah sebahagian daripada kepulauan Melayu.

Begitu juga dengan Papua New Guinea. Penduduknya bukan berbangsa Melayu. Tetapi mereka adalah serumpun dengan penduduk di Papua, dahulunya dikenali Irian Jaya. Sebelum itu Irian jaya dikenali sebagai Irian Barat.

Sebelum itu ia adalah Papua Barat. Maknanya papua New Guinea itu adalah Papua Timur. Kedua-duanya adalah dalam pulau Papua, dan Papua adalah sebahgian daripada kepulauan Melayu. kepulauan Melayu merujuk kepada semua pulau-pulau di Asia Tenggara. Tetapi tentunya ia tidak termasuk Australia, New Zealand dan kepulauan Polynesia, walaupun penduduk aslinya seperti Aborigin, Maori, Polynesia termasuk Hawaii merupakan serumpun besar bukan saja orang Papua tetapi juga Melayu. Termasuk kategori ini ialah orang peribumi di pulau Taiwan.

Tetapi apabila disebut kepulauan Melayu, ia juga termasuk dua wilayah yang bukannya pulau. Ia hanyalah semenanjung dan dari segi geografi, ia adalah sebahagian daripada Tanah Besar Asia Tenggara.

Dua wilayah itu ialah Semenanjung Malaysia dan Thailand Selatan, atau nama lamanya Tanah Melayu dan Pattani. Kemungkinan Pattani itu adalah sebahagian daripada Tanah Melayu. Kelantan pun pernah merupakan sebahagian daripada kesultanan Pattani.

Jadi, walaupun kerajaan pertama Melayu bermula di Champa di Tanah Besar Asia Tenggara tetapi nama Melayu bermula dari Sungai Melayu di Sumatera. Kerajaan Sri Wijaya yang bermula di Palembang mewarisi kerajaan Champa dan lain-lain kerajaan sezaman dengannya untuk memantapkan jati diri Melayu. Kemudian ia diwarisi oleh kerajaan Melaka di semenanjung dan beberapa kerajaan di pulau Jawa.

Jawa juga dikenali sebagai Jawi. Sementara Jawi disamakan juga dengan Melayu, maka akhirnya Melayu-Jawa menjadi satu identiti yang membentuk kepulauan Melayu. Kerajaan Majapahit menamakan pulau-pulau di luar Jawa termasuk semenanjung Tanah melayu sebagai Nusantara. Tetapi hakikatnya Jawa-Nusantara ini adalah kepulauan Melayu.

Terdapat beratus-ratus pulau di kepulauan Melayu, Maka dari segi geografi, pulau-pulau yang besar ialah Sumatera, Borneo, Jawa, Mindanao, Luzon, Sulawesi dan Papua. Rangkaian pulau kecil pula ialah Nusa Tenggara, Timor, Maluku dan Visaya. Sementara semenanjung ialah Tanah Melayu dalam erti kata meliputi Pattani.

Lantas, Mindanao adalah salah sebuah pulau besar dalam Nusantara. Penduduknya adalah orang Melayu yang pada zaman ini tidak disebut sebagai Melayu. Walaupun mereka tidak berbahasa Melayu tetapi bahasa mereka adalah sebahagian daripada rumpun Melayu. Mereka beragama Islam dan berbudaya rumpun Melayu. Tetapi mereka dipanggil Moro.

Tiada ulasan: