Isnin, 18 Mei 2009

Masalah penempatan setinggan di tengah kepesatan pembangunan Bandar raya Kota Kinabalu.(Bhg. 2)

DEFINISI SETINGGAN
Takrif setinggan boleh dibahagikan kepada dua,iaitu takrif am dan takrif di sisi undang-undang. Bagi takrifan am, menurut kamus The Concise Oxford (Edisi 9,1995), setinggan adalah seseorang yang menduduki tanah baru terutama tanah awam tanpa hak milik, atau seseorang yang memperoleh pemilikan secara tidak sah premis yang kosong.
Rozali (1987) mendefinisikan setinggan secara lebih khusus,iaitu “pendudukan tanah sama ada kepunyaan kerajaan atau kepunyaan pihak-pihak persendirian tanpa izin pemunyanya”.
Mengikut takrifan undang-undang di Malaysia pula,pertama sekali kita lihat apa yang diperkatakan oleh Hakim Adam dalam kes Mohamad Said lwn. Fatimah(1962),
Tiada siapa pun dibenarkan menduduki Tanah Negeri
tanpa kebenaran dan jika melakukannya maka ia termasuk
dalam suatu pelanggaran(yakni) melanggar Kaedah 151,
Kaedah -Kaedah Tanah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
Bab 38 …..dan menyebabkan orang berkenaan boleh didakwa
dan disabitkan serta dihukumi oleh Mahkamah Jenayah.
Dengan itu,menurut undang-undang Malaysia,setinggan adalah penceroboh tanah kerajaan atau penceroboh tanah persendirian.KTN 1965 merupakan satu-satunya perundangan yang secara nyata menyentuh kedudukan dan kepentingan penduduk setinggan di sisi undang-undang.Seksyen 48 KTN menyatakan bahawa “tiada hak milik tanah kerajaan boleh diperoleh secara pegangan,pendudukan tak sah atau pendudukan di bawah mana-mana lesen untuk selama mana sekalipun.
Manakala seksyen 425 pula,adalah mengenai kesalahan menceroboh tanah kerajaan secara menduduki dan membina apa-apa bangunan di atasnya dan aktiviti-aktiviti lain yang disenaraikan.Ini jelas menunjukkan setinggan tidak mempunyai apa-apa hak ke atas tanah di sisi undang-undang.

Tiada ulasan: