Selasa, 19 Mei 2009

Masalah penempatan setinggan di tengah kepesatan pembangunan Bandar raya Kota Kinabalu.(bhg. 4)

ISU DAN MASALAH YANG TIMBUL
Pelbagai isu-isu dan masalah berkaitan seperti kesesakan penghuni, masalah sosial, kemiskinan, keburukan astetik alam sekitar dengan bangunan berselerak serta kekurangan kemudahan insfrastruktur ,jenayah dan sebagainya telah wujud di kawasan setinggan dan kawasan sekitarnya.Bandar raya Kota Kinabalu juga tidak terlepas daripada masalah ini.
Kesesakan penghuni dan bangunan yang berselerak di kawasan setinggan ini boleh menjejaskan atau merosakkan keindahan pemandangan Bandar raya Kota Kinabalu.Masalah ini akan memberi kesan kepada industri pelancongan yang sedang berkembang,ini dibuktikan melalui ucapan dasar kerajaan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Bin Abdullah bersempena dengan pembukaan rasmi penggal kedua persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang ke 12 pada 15 April 2005 lalu.Berlaku peningkatan Dalam tempoh 4 tahun yang lalu, jumlah ketibaan pelancong asing dan domestik ke negeri ini telah meningkat secara signifikan sebanyak 60.9% daripada hanya 1.1 juta pada tahun 2001 kepada sekitar 1.77 juta dalam tahun 2004 dan peningkatan ini dijangkakan akan berterusan di masa hadapan.
Sehubungan itu,beliau mengingatkan kerajaan negeri supaya lebih giat menangani masalah setinggan dan terus meningkatkan operasi penghantaran balik pendatang asing tanpa izin yang tidak mempunyai dokumen sah. Tindakan ini adalah selaras dengan keperluan dasar Kerajaan Malaysia untuk memastikan setiap rakyat asing yang bekerja di negara ini mestilah mempunyai dokumen sah. Selain itu, Kerajaan Negeri diminta juga meningkatkan usaha menangani insiden warga asing yang melawat ke negeri ini menggunakan visa pelancong dan kemudiannya menceburi perniagaan dan kegiatan maksiat.Sekiranya usaha-usaha ini tidak diperhebatkan tidak mustahil jumlah ketibaan pelancong asing dan domestik akan menurun dan akan beralih ke negeri-negeri lain.
Masalah setinggan juga memberi kesan yang buruk ke atas alam sekitar,di mana kawasan setinggan di Bandar raya Kota Kinabalu hampir kesemuanya menghadapi masalah pencemaran alam sekitar.Pembuangan sampah yang tidak terurus dan pencemaran sungai amat ketara.Ini akan membawa kepada masalah penyakit dan kesihatan kepada penduduk di sekitar Bandar raya Kota Kinabalu.Pengurusan pembuangan sampah yang tidak terurus ini akan menyebabkan penyakit yang berbahaya seperti penyakit taun,Denggi dan lain-lain lagi akan dihadapi oleh penduduk.
Pencemaran sumber air seperti sungai dan laut amat berbahaya kepada penduduk di Bandar raya Kota Kinabalu kerana sungai merupakan sumber air dan sumber pendapatan kepada penduduk di persisiran pantai di Bandar raya Kota Kinabalu.Penempatan setinggan ini membuang segala sampah dan najis terus ke dalam sungai atau laut kerana tiadanya sistem pembentungan yang sempurna di kawasan mereka.Bagi tahun 2004, Laporan Tahunan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan Sungai Likas adalah di antara sungai yang sangat tercemar di Sabah. Di Bandaraya ini misalnya, beberapa sungai di sini boleh dikatakan bermasalah dari segi kebersihan atau sudah tercemar sekian lama akibat daripada ketidak prihatinan penduduknya untuk menjaga kebersihanBagi mengetahui tahap tercemarnya ataupun tidak sesebuah sungai tersebut adalah melalui parameter yang diukur oleh Jabatan Alam Sekitar. Antara parameter yang diukur bagi mengenal pasti status ini adalah kadar oksigen terlarut (DO), keperluan oksigen biokimia (BOD), ammoniakal nitrogen (NH3-N), pepejal terampai (SS) dan analisis logam, bacaan Indeks Kualiti Air (IKA) Sungai Likas adalah 53,manakala Sungai Menggaris (25), Pang Burong 1 (46) dan Pang Burong 2 (52).Mengikut Indeks Kualiti Air (IKA) yang telah ditetapkan Jabatan Alam Sekitar(JAS), kiraan antara 81 hingga 100 adalah dikategorikan sebagai bersih,manakala kiraan 60 hingga 80 adalah sederhana tercemar dan 0 hingga 59 adalah tercemar. Kesemua kiraan tersebut adalah daripada sampel yang telah diambil di sungai-sungai yang telah dikenal pasti. Keadaan ini juga akan memberi kesan ke atas ekonomi para nelayan keran kehilangan mata pencarian akibat hasil tangkapan ikan semakin berkurangan.Masalah kesihatan akan timbul akibat pencemaran sumber air ini dan kerajaan negeri terpaksa membelanjakan banyak wang bagi mengatasi masalah pencemaran sungai dan merawat sumber air ini.
Kadar jenayah didapati meningkat di Bandar raya Kota Kinabalu agak ketara setelah munculnya penempatan kawasan-kawasan setinggan sekitarnya. Masalah penagihan dadah dikenalpasti sebagai faktor utama jenayah seperti mencuri,pecah rumah,ragut rogol sering berlaku.Pengedaran dadah dengan mudah didapati di kawasan setinggan dan sering dijadikan sebagai sarang penjualan dadah,keadaan ini berlaku disebabkan kawasan ini dirasakan sunyi daripada pihak berkuasa.Jenayah merompak,mencuri dan pecah rumah biasanya dilakukan oleh pendatang tanpa izin yang gagal mendapat pekerjaan ataupun yang mengambil jalan yang mudah untuk mendapatkan wang.
Di samping itu,masalah-masalah sosial lain juga timbul di kaawsan setinggan seperti pelacuran.Wanita-wanita yang mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang menjadikan setinggan sebagai pusat kegiatan mereka.Ini menambah pelbagai masalah lain seperti pembuangan bayi dan lain-lain.

Tiada ulasan: