Selasa, 19 Mei 2009

Masalah penempatan setinggan di tengah kepesatan pembangunan Bandar raya Kota Kinabalu.(bhg. 3)

FAKTOR PENYEBAB SETINGGAN.
Sekiranya dibincangkan tentang golongan setinggan akan dianggap tidak sempurna jika tidak menyentuh faktor yang menyebabkan kewujudannya di kawasan Bandar.Kemiskinan merupakan faktor utama penduduk yang tidak berumah mendirikan penempatan setinggan.Sebahagian besar daripada mereka tidak mampu membina,membeli dan menyewa rumah di kawasan bandar.Tekanan kemiskinan yang dihadapi semasa tinggal di tempat asal telah mendorong mereka untuk migrasi ke kawasan yang mengalami proses pembangunan atau pembandaran,golongan penghijrah ini biasanya terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah.Mereka tidak mampu membeli dan menyewa rumah.Justeru mereka membina penempatan di tanah kepunyaan kerajaan atau persendirian.
Kawasan setinggan yang boleh kita dapati di Kota Kinabalu adalah seperti di kawasan Sembulan,Likas,Tanjung Aru dan lain-lain.Kawasan ini dihuni oleh penduduk tempatan yang berasal dari kawasan luar bandar seperti Kota Belud,Kudat,Ranau dan sebagainya yang mencuba nasib mencari peluang pekerjaan di sini dan juga pendatang tanpa izin seperti dari Negara Indonesia dan Filipina yang mengalami masalah kesempitan hidup di Negara masing-masing juga tidak ingin terlepas peluang akibat kepesatan pembangunan di Malaysia dan khususnya di Sabah.

Dengan jumlah pendapatan yang rendah dan kos sara hidup yang meningkat mereka terpaksa mencari kediaman yang murah,akhirnya setinggan merupakan tempat terbaik untuk mereka. Kependudukan setinggan di kalangan warganegara asing juga menjadi punca masalah kerana ketiadaan tempat tinggal bagi mereka yang diambil bekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan. Sungguhpun tenaga pekerja asing diperlukan untuk pembangunan negara tetapi masalah timbul apabila majikan tidak dikenakan syarat untuk penyediaan tempat tinggal bagi pekerja. Selain itu, untuk membezakan warganegara asing yang mempunyai permit pekerja atau tidak, ianya adalah sukar untuk dikenalpasti sekaligus menyebabkan masalah dalam penentuan kepada keperluan perumahan bagi pekerja asing yang bekerja di Kota Kinabalu.

Faktor sosioekonomi penduduk turut menjadi penyebab kepada wujudnya setinggan melalui kadar kelahiran yang tinggi di Malaysia menyebabkan kos tangungan keluarga meningkat dan penghijrahan penduduk secara terus ke kawasan bandar merupakan faktor penggalak kepada terdirinya setinggan di pusat bandar Kota Kinabalu di samping faktor-faktor tarikan yang lain seperti kemudahan membeli-belah, hiburan dan cara hidup bandar. Bagi mereka yang berpendapatan ‘marginal’ perumahan yang termampu adalah penempatan setinggan yang sangat murah kosnya berbanding dengan harga perumahan kos rendah.
Kajian telah dibuat oleh UiTM untuk negeri Selangor pada 1997 dan USM untuk negeri-negeri lain pada 1999 dan penemuan data bagi bilangan setinggan dan bangunan setinggan adalah seperti berikut:

Negeri Jumlah Penduduk Jumlah Bangunan Kediaman
Selangor(Bancian 1997) 171,396 35,355
Sabah 148,099 30,079
W.P. Kuala Lumpur 134,345 23,970
Sarawak 30,832 7,377
Johor 29,173 7,280
Perak 14,991 3,540
Kedah 12,822 2,824
Kelantan 9,927 1,654
Pulau Pinang 6,985 1,803
Perlis 6,558 1,002
W.P. Labuan 5,978 1,315
Pahang 4,511 869
Terengganu 3,915 632
Negeri Sembilan 1,460 196
Melaka 196 42
JUMLAH PERSEKUTUAN 581,188 117,938

Jika dilihat pada jadual di atas,ternyata Sabah menduduki tempat kedua selepas Selangor yang mempunyai masalah setinggan yang paling tinggi.Kedudukan ini amat membimbangkan kerana akan membawa kesan yang negatif.Ditambah lagi dengan masalah kebanjiran pendatang tanpa izin(PATI) ke negeri Sabah.

Tiada ulasan: