Ahad, 30 Mei 2010

Majlis Kenduri Kahwin yang mendapat berkat.

Sempena cuti sekolah ini, satu kemestian undangan yang kita terima dan tidak akan terlepas ialah undangan kenduri kahwin, mungkin mengambil kesempatan daripada cuti sekolah bagi memeriahkan lagi majlis ini. Bukan soal cuti sekolah atau undangan kenduri kahwin yang akan dibicarakan tetapi majlis kenduri kahwin itu sendiri.

Pada pemerhatian, terdapat juga majlis kenduri kahwin atau walimatul urus yang diadakan tidak merujuk kepada ajaran Islam yang berpaksikan dengan ilmu Tauhid dan Fiqah. Sudah tentu masih ada majlis yang merujuk dan mengambil berat mengenainya, mereka ini tidak perlu dibimbangkan kerana telah berada di atas landasan yang betul.

Di dalam Tauhid dan Fiqah dianjurkan supaya di dalam sesuatu majlis yang diadakan hendak sifar aktiviti yang melanggar syariat Allah. Di antara program dan aturcara majlis perkahwinan pada asasnya ialah:
- Meminang.
- Bertunang.
- Akad Nikah.
- Kenduri.
semua perkara tersebut masih diamalkan dengan baik tanpa meninggalkan atau mengabaikannya.Tetapi terdapat juga perlanggaran dan pencemaran hukum ketika perlaksanaan aturcaranya.

- Majlis Pertunangan.
Majlis ini biasanya dicemari dengan pembaziran atau mempamerkan diri, ketokohan atau status keluarga.

- Majlis Akad Nikah.
Majlis Akad Nikah yang diadakan di masjid biasanya berlaku pengabaian terhadap galakan menghormati masjid, terdapat di kalangan tetamu yang hadir tidak bersolat menghormati masjid ( Tahiyatul masjid ) termasuk pengantin perempuan kerana terhalang dengan pakaian khas dan perhiasan yang sedang dipakai.Lagipun, Mak Andam yang digunakan khidmatnya bukanlah terdiri dari mereka yang peka sangat dengan hal-hal seperti itu.

- Majlis Kenduri Kahwin.
Nabi Muhammad.s.a.w. sangat mengambil berat tentang perkara ini kerana kenduri itu suatu cara mengisytiharkan kepada masyarakat tentang pernikahan kedua-dua mempelai tersebut. Nabi menyarankan agar kenduri kahwin dibuat walaupun sekadar menyembelih seekor kambing untuk dijamukan kepada tetamu, tetapi apa yang berlaku kini aturcara kenduri kahwin telah banyak tersasar dengan perbagai acara selingan yang mampu menghalau keberkatan kepada pasangan pengantin, sebaliknya mengundang iblis dan syaitan untuk memporak-perandakan ikatan perkahwinan pada masa akan datang.

- Aturcara yang lazim terdapat di majlis kenduri kahwin pada masa kini, mungkin di antaranya dapat disenaraikan seperti berikut:

- Malam himpunan ahli keluarga - dan berinai pengantin (jika pengantin perempuan).
- majlis Khatam al.Quran/bertahlil / Marhaban.
- Jamuan.
- ( Biasanya majlis ini diadakan pada waktu malam ).
- Jamuan kenduri - mulai jam 12.00 t.hari.
- Mungkin diiringi dengan....
. Persandingan.
. Pertunjukan silat.
. Nyanyian(Karaoke) dan tarian.( lelaki dan perempuan bergandingan ).

Aturcara tersebut adalah yang tersurat dan nyata kepada semua yang hadir, mungkin di sana terdapat juga upacara tertentu yang berkaitan dengan amalan tradisi keluarga yang dilarang oleh syariat Islam dan diamalkan di balik tabir.

Adakah terdapat di sana acara yang seolah-olah menyindir Allah Taala, kalau ada mungkinkah doa beramai-ramai yang telah diminta itu mempunyai peluang untuk dimakbulkan Allah.

Sebenarnya majlis kenduri kahwin seperti di atas perlu disemak semula dan difikirkan semula serta membuat suatu tapisan untuk mengabaikan aturcara yang tidak sesuai dengan majlis perkahwin yang mengharapkan keberkatan, kemudian buatlah anjakan ke arah suatu pakej yang baru dan diberkati Allah.Sekiranya kita usahakan insya Allah kita akan memperolehi dan dapat mewujudkan Majlis Kenduri Kahwin yang mendapat berkat.

Tiada ulasan: